Nothing meneruskan lagi barisan produk audio mereka dengan melancarkan Nothing Ear (open). Ia merupakan fon telinga jenis terbuka (open-ear) pertama mereka yang mana seperti Xiaomi Openwear Stereo mahupun Shokz yang dilancarkan baru-baru ini.
Seperti dalam kebanyakan peranti open-ear lain, ia tidak hadir dengan pembatalan hingar aktif (ANC) tetapi memberikan pengguna bunyi persekitaran di samping keselesaan ketika memakai.
Nothing Ear (open) tampil dengan rekaan ikonik lut sinar. Fon putiknya terletak di luar telinga si pemakai dan juga menggunakan ‘three-point balance system’ serta cangkuk silikon.
Ia dilengkapi pemacu sebesar 14.2mm, terbesar dalam barisan peranti audio Nothing. Setiap fon putiknya juga hadir dengan mikrofon serta teknologi pembatalan hingar (Clear Voice Technology 3.0) bagi memberikan audio jelas semasa membuat panggilan suara.
Selain itu, peranti ini turut menyokong sambungan dwi peranti, Bluetooth 5.3 dan juga kawalan picit untuk main balik media, panggilan dan laras audio.
Bagi yang mahu menggunakannya ketika berlari atau bersukan, tidak perlu risau kerana ia mempunyai penarafan IP54 kalis debu dan percikan air. Malah, ia juga ringan di mana beratnya hanya 8.1g sahaja.
Baterinya pula sebesar 64mAh (fon putik) dan 635mAh dengan bekas simpanannya yang menyokong pengecasan berwayar menerusi USB-C sahaja. Nothing juga menjanjikan jangka hayat penggunaan 8 jam atau 30 jam apabila anda masukkan kembali ke bekas pengecasannya. Tambahan lagi, Nothing juga mengatakan yang 10 minit mengecas peranti dapat memberikan 2 jam penggunaan.
Lain-lain adalah seperti penggunaan bersama aplikasi Nothing X, menyokong Find My Network, kependaman rendah untuk permainan dan diintegrasikan ChatGPT.
Nothing Ear (open) ditawarkan dalam satu pilihan warna sahaja buat masa sekarang, iaitu putih dan dijual pada harga RM659.
Sekiranya anda berminat, prapesan dibuka bermula 1 Oktober sehingga 13 Oktober depan di mana Nothing menawarkan baucar RM10.
{suggest}