Nokia Pheonix Akan Hadir Dengan Cip Pemprosesan Terbaru Keluaran Qualcomm

Qualcomm telah pun memperkenalkan cip pemprosesan terbaru mereka, Snapdragon 710 yang dihasilkan khas untuk kegunaan peranti telefon pintar kelas pertengahan pada bulan Mei yang lalu. Dan beberapa pengeluar telefon pintar seperti Xiaomi dan Vivo telah pun mengesahkan  untuk menggunakan cip ini pada peranti terbaru mereka.

Dan yang terbaru, Nokia pula dilaporkan bahawa mereka akan turut menggunakan cip Snapdragon 710 ini pada peranti terbaru mereka yang diberi kod nama Nokia Pheonix. Tidak banyak maklumat berkenaan peranti ini yang diketahui buat masa ini, namun ia dijangka dilancarkan menjelang hujung tahun ini.

Sebelum ini, Nokia telah pun mengumumkan pelancaran tiga buah peranti terbaru mereka iaitu Nokia Nokia 2.1, 3.1, dan 5.1. Ketiga-tiga peranti berkenaan adalah merupakan peranti yang dinaiktaraf daripada peranti yang terdahulu iaitu Nokia 2, Nokia 3 dan Nokia 5.


Foto : Kelebihan Snapdragon 710 berbanding Snapdragon 660


Apa yang menarik berkenaan cip pemprosesan ini ialah ia merupakan sebuah cip yang menggabungkan ciri-ciri pada siri Snapdragon 800 dan Snapdragon 600. Dan ia dijangka akan dapat mengurangkan jurang perbezaan prestasi antara peranti kelas perdana dan pertengahan.

Selain daripada penggunaan cip Snapdragon 710, peminat Nokia boleh mengharapkan memori sehingga 6GB, ruang storan sehingga 128GB serta penggunaan dwi-kamera ZEISS pada peranti Pheonix ini.

Dengan adanya cip Snapdragon 710 ini, kita boleh mengharapkan prestasi yang baik pada peranti kelas pertengahan serta harga yang lebih berpatutan selepas ini. Dan dua perkara berkenaan pastinya akan menjadi penanda aras kepada Nokia Pheonix selepas dilancarkan kelak.

Sumber