Qualcomm Snapdragon 710 - Sistem Cip Terbaru Yang Direka Khas Untuk Peranti Kelas Pertengahan

Pada awal tahun lalu syarikat pembangun cip terkemuka dari Amerika Syarikat, Qualcomm Inc. telah mengumumkan bahawa mereka akan membangun satu cip pemprosesan peranti mudah alih baru pada tahun ini. Dan pada 24 Mei yang lepas, mereka telah memperkenalkan cip pemprosesan Snapdragon 710 yang merupakan keluaran pertama dalam siri Snapdragon 700.

Pihak Qualcomm menyatakan bahawa tujuan utama mereka membangunkan cip ini adalah untuk memberi lebih sokongan kepada peranti kelas pertengahan. Mereka mensasarkan untuk memberi peluang kepada peranti kelas tersebut menikmati ciri-ciri yang sebelum ini cuma diberikan kepada peranti kelas perdana yang menggunakan cip berkuasa tinggi seperti Snapdragon 845.

Antara ciri-ciri yang dimiliki oleh cip ini yang turut dimiliki oleh cip Snapdragon 845 ialah X15 LTE, Adreno 616 GPU, Hexagon 685 DSP, Spectra 250 dual ISP, teras Kryo 360 CPU serta Aqstic Audio. Menurut Qualcomm, ia seolah-olah menikmati pengalaman penggunaan peranti perdana pada harga yang lebih murah.

https://youtu.be/X4ZWD54LREU

Selain itu, Qualcomm turut menaiktaraf kualiti penggunaan kuasa pada sistem cip Snapdragon 710 ini bagi membolehkan kuasa peranti anda digunakan dengan lebih bijak, sekaligus bateri peranti anda mampu bertahan lebih lama.

Turut mendapat impak daripada keluaran cip ini ialah penggemar permainan video mudah alih. Qualcomm menjanjikan dengan penggunaan sistem cip ini, bateri peranti anda akan bertahan 40% lebih lama.

Dengan sistem cip terbaru ini, kita dapat menjangkakan jurang perbezaan antara peranti kelas pertengahan dan perdana akan dapat dikurangkan. Industri telefon pintar ternyata akan lebih menarik untuk diperhatikan selepas ini.

Sumber