Sony mula memperkenalkan sistem pengesahan umur untuk akaun PlayStation dewasa di Australia, menjelang pelaksanaan peraturan baharu negara itu berkaitan akses kepada permainan dan kandungan berklasifikasi R18+.
Menurut halaman sokongan rasmi PlayStation, akaun dewasa yang didaftarkan di Australia tidak lama lagi perlu mengesahkan bahawa pemilik akaun berusia sekurang-kurangnya 18 tahun sebelum boleh menambah permainan atau kandungan Restricted (R18+) daripada PlayStation Store ke library.

Pengesahan hanya perlu dilakukan sekali bagi setiap akaun. Pengguna boleh memilih antara dua kaedah iaitu imbasan wajah atau dokumen pengenalan diri, dengan proses tersebut dikendalikan oleh penyedia perkhidmatan pengesahan umur, Yoti.
Bagi kaedah imbasan wajah, teknologi Yoti akan menganggarkan umur berdasarkan geometri wajah. Sony berkata data geometri wajah akan dipadam selepas proses selesai dan PlayStation hanya menerima keputusan sama ada pengguna lulus atau gagal pengesahan.

Pengguna yang memilih dokumen pengenalan pula boleh menggunakan dokumen yang diterima seperti pasport. Dalam situasi tertentu, imbasan wajah tambahan mungkin diperlukan bagi memastikan dokumen tersebut milik pengguna berkenaan.
Pengguna masih boleh memainkan permainan yang sudah berada dalam library serta mengakses kandungan bukan R18+ tanpa pengesahan.
Namun, selepas penguatkuasaan bermula, kandungan R18+ baharu tidak boleh ditambah ke library sehingga umur disahkan.
Langkah ini berkaitan Age-Restricted Material Codes Australia, yang memerlukan suatu bentuk age assurance untuk akses kepada permainan dalam talian berklasifikasi R18+. Keperluan berkaitan muat turun aplikasi R18+ melalui platform pengedaran aplikasi pula perlu dilaksanakan sebelum 9 September 2026.
Peraturan tersebut berbeza daripada larangan akaun media sosial untuk pengguna bawah 16 tahun yang telah dikuatkuasakan Australia sejak 10 Disember 2025. Peraturan itu mewajibkan platform seperti Facebook, Instagram, TikTok, X dan YouTube mengambil langkah munasabah untuk menghalang pengguna bawah 16 tahun daripada memiliki akaun.
Dalam kes PlayStation pula, fokusnya adalah menghalang pengguna bawah 18 tahun daripada mengakses kandungan yang diklasifikasikan R18+, bukannya melarang mereka menggunakan platform PlayStation secara keseluruhan.
{suggest}
