Mi Band 4: Paparan Berwarna Dengan Kuasa Bateri Yang Lebih Lama

Setelah galak diperkatakan sekian lama, peranti boleh pakai Mi Band 4 dari Xiaomi kini telah diumumkan hari ini.

Siri Mi Band cukup popular dalam kalangan pengguna kerana selain menghadirkan ciri-ciri yang baik ia turut didagangkan pada harga berpatutan. Menggantikan Mi Band 3 yang cukup popular terutama sekali di China dan India, model baru ini tampil dengan sejumlah penambahbaikan seperti paparan berwarna melalui skrin AMOLED beresolusi 240 x 120. Ia turut dilindungi dengan kaca 2.5D bagi tahan calar serta tahan air sehingga kedalaman 50 meter.



Selain daripada itu, Mi Band 4 disertakan dinaik taraf dengan sensor 6 paksi yang mana ia secara pintar mampu mengesan jenis gaya renang; gaya bebas, kuak lentang, kuak kupu-kupu dll. Aktiviti riadah lain juga mampu dikesan seperti berlari, berbasikan atau berjalan kaki.



Xiaomi juga menyediakan versi yang mempunyai sokongan NFC yang mana bateri mampu bertahan sehingga 15 hari manakala versi standard boleh mencecah 20 hari penggunaan untuk satu pengecasan penuh. Sokongan tambahan lain yang boleh didapati pada Mi Band 4 adalah arahan suara Xiao AI, membolehkan pengguna mengawal produk IoT Xiaomi.

Harga jualan di China untuk Mi Band 4 adalah 169 yuan (~RM102) dan versi dengan sokongan NFC 229 yuan (~RM138).



Terdapat juga penawaran versi Avengers yang disertakan dengan beberapa aksesori menampilkan logo filem aksi tersebut.