Mengapa Terlampau Banyak Model Telefon Yang Dikeluarkan Oleh Syarikat Dari China?

Anda tidak perlu menjadi seorang peminat teknologi telefon pintar untuk mengenal pasti lambakan model yang dikeluarkan oleh syarikat dari China terutamanya jenama seperti realme dan Xiaomi.

Malah, disebabkan betapa banyaknya model dari mereka ini, sehinggakan peminat tegar dunia telefon pintar pun pening dan lupa perbezaan antara satu model ke model yang lain.

Samsung merupakan salah satu jenama lain yang kerap menghasilkan telefon pintar dari semasa ke semasa. Ini adalah disebabkan mereka mempunyai pelbagai kelas telefon pintar seperti kelas permulaan, pertengahan, dan siri mercu.

Apa bezanya dengan jenama seperti realme dan Xiaomi, bukankah mereka mempunyai pelbagai kelas juga?

Betul. Akan tetapi, jika anda perhatikan kebanyakan model generasi telefon pintar Samsung mempunyai jarak pengeluaran yang boleh dikatakan munasabah jika mahu mengeluarkan model yang baharu.

realme pula? Sebagai contoh, pada bulan Mac 2020, realme telah melancarkan realme C3 yang merupakan kelas permulaan menggantikan realme C2 yang berusia hampir setahun.

Tiada salahnya mengeluarkan model pada jangka waktu dengan jarak tersebut. Namun, mengapa tiba-tiba pula mengeluarkan realme C11 pada Julai 2020, realme C12 Ogos dan realme C17 pada Oktober pula?



Ini baru sahaja kelas permulaan realme dan sudah ada 4 model yang memeningkan pembeli? Itu belum cerita lagi model Narzo yang sudah mula menapak di Malaysia dan seakan mengacau pasaran kelas pertengahan realme 7 sendiri.

Xiaomi seperti yang kebanyakan peminat kenal, ia tidak seagresif realme. Pun begitu masih mempunyai pendekatan sama dengan realme seperti menjual model lebih 'kurang sama' seperti contoh Poco F2 Pro, Xiaomi Mi 10T, Xiaomi Mi 10, dan Redmi K30 (dalam siri Redmi K30 pun masih banyak modelnya).

Kapsyen: Gambar hiasan - Poco F2 Pro

Mengapa Terlalu Banyak Model?


Jika dilihat dengan lebih terperinci, ada model yang tidak jauh beza spesifikasinya antara satu sama lain yang melayakkan ia menerima sebuah model baharu.

Adakah ada sesuatu yang memberi asas kepada pengeluaran telefon pintar baharu dari jenama-jenama ini?

Apa yang membuatkan bahagian pengurusan syarikat tergerak hati untuk membuat keputusan melancarkan sebuah model baharu sedangkan 2 hari lepas baru sahaja lagi mengumumkan model yang lain?

Adakah syarikat seperti realme dan Xiaomi sengaja menyusahkan pembeli dan pengguna mereka dengan lambakan penghasilan telefon pintar?

Kapsyen: Gambar hiasan - Keliru

Sebab Yang Sebenarnya...


Jawapan sebenar mengapa terlalu banyak model yang dihasilkan adalah mudah. Ia adalah satu pendekatan bagaimana sesebuah syarikat memilih untuk menghasilkan telefon pintar.

Secara asasnya terdapat 2 pendekatan tersebut iaitu secara konsisten atau secara pantas.

Apple merupakan salah satu jenama yang memfokuskan kepada pendekatan secara konsisten. Walaupun bukan secara keseluruhan konsisten, mereka mempunyai model generasi yang kita tahu akan dilancarkan pada sekitar Oktober atau November serta nama model yang mudah untuk dibezakan.

Kapsyen: Apple iPhone 12 Pro yang terbaharu


Antara telefon pintar dari jenama Android yang mempunyai pendekatan sebegini adalah Nokia. Mereka mempunyai nama generasi yang konsisten dan pengasingan antara kelas permulaan, pertengahan, dan juga kelas mercu.

Kapsyen: Nokia Malaysia


Jenama seperti realme dan Xiaomi memilih pendekatan yang satu lagi iaitu secara pantas atau tangkas.

Pantas dan tangkas kepada apa?

Ia bermula dari pasaran utama mereka sendiri iaitu China dan India. Di sana, pasaran telefon pintar terlalu kompetitif dan giat bersaing antara satu sama lain.

Kapsyen: Lambakan telefon pintar di India dan China - Gambar kredit: Scroll.in


Jadi, untuk membuatkan sesuatu model itu lebih mudah untuk dijual, ia perlu mempunyai penawaran baharu atau 'berbeza' berbanding model yang pernah dijual.

Ini adalah sebabnya jika ada teknologi baharu seperti cip pemprosesan terkini, kadar segar semula, pengimbas cap jari dalam skrin, bateri besar, pengecasan lebih pantas, 5G, dan sebagainya, ia akan digunakan sebagai cara untuk memasarkan telefon tersebut.

Kapsyen: Snapdragon 732G digunakan sebagai 'alat pemasaran' Poco X3 NFC


Dan lebih menarik, syarikat mana yang paling pantas dan tangkas mengeluarkan telefon pintar berdasarkan 'teknologi' baharu ini, merekalah yang paling cepat untuk menjual telefon pintar berkenaan.

Anda boleh perhatikan sendiri apa yang terjadi selepas Samsung berjaya menghasilkan sensor kamera dengan saiz MP tinggi seperti 48MP atau 64MP. Berduyun-duyun model yang dikeluarkan untuk mengambil manfaat sensor-sensor kamera ini.

Kapsyen: Gambar hiasan - Kamera 48MP pada telefon pintar


Apa yang anda perlu tahu adalah ini merupakan salah satu cara syarikat untuk membuat keuntungan disebabkan lambakan pesaing yang sangat kompetitif di pasaran.

Untuk pembeli dan pengguna seperti kita pula, berita buruknya adalah kita akan melihat begitu banyak model yang terjual dan memeningkan kepala.

Tambahan lagi, jika seseorang mahu mencari sesuatu model yang kena dengan bajetnya, ia mungkin memerlukan masa untuk mengkaji dan memilih model yang sesuai dengan penawarannya.

Mungkin ada yang mengatakan bahawa syarikat seperti realme dan Xiaomi mementingkan diri sendiri berbanding pelanggan mereka. Namun jika difikirkan semula, tiada syarikat yang mahu rugi dalam memasarkan produk dan perkhidmatan mereka.