Menu
WISER.MY
  • Pergi ke Wiser.my
  • Berita
  • Ulasan
  • Trivia
  • Tips Gajet
  • Promosi
  • Youtube
  • Senarai
  • Harga
  • Hubungi Kami
WISER.MY
Leapmotor B10 Kinetix Edition-Three-Quater-Front-Left-Level

Leapmotor B10 Kinetix Edition Hadir Dengan Bodykit Eksklusif, Jumlah Terhad

Diterbitkan November 16, 2026 oleh Amsyar Latif

Cycle & Carriage memperkenalkan Leapmotor B10 Kinetix Edition di Malaysia, versi edisi terhad SUV elektrik itu yang hadir dengan pakej penggayaan eksklusif pada harga bermula RM116,900.

Kinetix Edition dibangunkan khusus untuk Leapmotor B10 dan menampilkan bodykit yang terdiri daripada skirt bampar hadapan, pelapik lengkung roda (wheel arch cladding), skirt sisi serta skirt bampar belakang.

Menurut Cycle & Carriage, gabungan elemen tersebut memberikan siluet yang lebih rendah dan sporty, dengan butiran berinspirasikan sirip aerodinamik. Bodykit itu diperbuat daripada bahan ABS dan dipasang tanpa perlu menggerudi badan kenderaan.

Selain bodykit, B10 Kinetix Edition turut dilengkapi rim aloi hitam berkilat serta kemasan bumbung duotone.

Bodykit eksklusif Kinetix Edition disertakan dengan waranti enam tahun. Leapmotor B10 pula mengekalkan waranti kenderaan enam tahun dan waranti bateri lapan tahun.

Leapmotor B10 Kinetix Edition- Front-Lip
Leapmotor B10 Kinetix Edition- Rear-Lip
Leapmotor B10 Kinetix Edition- Duotone-Roof
Leapmotor B10 Kinetix Edition- Rims

Sempena musim perayaan hujung tahun, harga Leapmotor B10 kini bermula RM105,900 di bawah tawaran Year-End Special Offer. Tawaran yang sama turut terpakai untuk Kinetix Edition, dengan pakej penggayaan berkenaan ditawarkan pada bayaran tambahan RM11,000, menjadikan harganya RM116,900.

Kinetix Edition ditawarkan dalam jumlah terhad. Tempahan boleh dibuat di mana-mana cawangan Leapmotor Cycle & Carriage di seluruh negara.

Model ini sebelum ini dipamerkan di jelajah Cycle & Carriage di Sunway Velocity Mall dari 11 hingga 15 November 2026. Jelajah tersebut turut menampilkan pratonton Leapmotor B03X dalam konfigurasi pemanduan sebelah kanan (RHD) dan kemasan warna Seaweed Green.

Leapmotor B10 Kinetix Edition @ Sunway Velocity Mall

Menurut Cycle & Carriage, unit pratonton B03X itu dibawa bagi menilai minat pasaran serta mendapatkan maklum balas pelanggan sebelum model berkenaan diperkenalkan secara rasmi di Malaysia.

Berkaitan

  • Hanya Ambil Masa Lapan Bulan, Jualan Leapmotor Melonjak Mencecah 1.5 Juta Unit
  • Semua Model Leapmotor Di Malaysia Kini Dipasang Secara Tempatan

Cari Artikel

Buka artikel ini di Wiser.my
BUKA

Terbaru

  • Xiaomi Pegang Pasaran Telefon Pintar Malaysia Pada Suku Ke-3 2026
  • Kerajaan Perketat Pemantauan Bekalan Elektrik, Air Untuk Pembangunan Pusat Data
  • Tesla Mula Jual Cybercab Kepada Pelanggan Terpilih
  • Jensen Huang Dilapor Pertimbang Untuk Kembali Sebagai CEO NVIDIA
  • 40 Satelit Internet Amazon Musnah Selepas Pelancaran Roket Gagal
  • Facebook Akan Padam Profil Tambahan Selepas 14 Disember 2026
  • Kerajaan Teliti Cadangan Wajibkan Pengesahan Identiti Akaun WhatsApp - Fahmi
©2026 WISER.MY