Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) menyatakan hasrat untuk menjalin kerjasama bagi menyokong pembangunan kemudahan Awan Kecerdasan Buatan (AI) Berdaulat Malaysia, termasuk melalui penyertaan syarikat teknologi dari negara itu.
Di bawah inisiatif pembangunan tersebut, Malaysia akan menentukan reka bentuk, kaedah perolehan dan operasi kemudahan berkenaan. Infrastruktur dan data yang dihoskan juga akan ditempatkan di Malaysia, tertakluk kepada undang-undang negara, serta kekal dalam pemilikan, keselamatan dan kawalan negara.
Bidang kerjasama yang berpotensi termasuk bantuan teknikal dan latihan bagi membangunkan tenaga kerja AI tempatan. Ia juga bertujuan memperkukuh keupayaan Malaysia mengendalikan infrastruktur digital yang selamat dan berdaya tahan.
Bagaimanapun, penglibatan syarikat teknologi AS dalam pembangunan ini tetap tertakluk kepada undang-undang dan proses perolehan Malaysia, selain keperluan teknikal, keselamatan serta perjanjian berkaitan.
Dalam pada itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memaklumkan AS juga menyatakan hasrat untuk menyediakan dana berjumlah AS$50 juta (~RM205.7 juta) menerusi program SI SPARK bagi menyokong inisiatif berkenaan. Bantuan tersebut bagaimanapun masih tertakluk kepada persetujuan kedua-dua kerajaan mengenai terma dan skop pembiayaannya.
Melalui Perkongsian Strategik Komprehensif, Malaysia dan AS turut menyatakan komitmen untuk memperkukuh kerjasama dalam bidang AI dan teknologi digital yang selamat, dengan menghormati sepenuhnya kedaulatan dan autonomi kawal selia setiap negara.
