Sebilah pedang cahaya atau lightsaber yang pernah digunakan oleh watak Darth Vader dalam filem Star Wars telah mencipta sejarah baru apabila berjaya dijual pada harga AS$4.875 juta (kira-kira RM21.45 juta) dalam satu lelongan di Dallas, Amerika Syarikat.
Jualan tersebut menjadikannya memorabilia Star Wars paling mahal pernah dijual di lelongan.
Prop ikonik itu digunakan dalam filem The Empire Strikes Back (1980) dan Return of the Jedi (1983).

Malah, pedang itu digunakan dalam babak pertarungan terkenal antara Darth Vader dan Luke Skywalker yang menjadi salah satu adegan paling ikonik sejarah filem apabila Darth Vader membuat pengakuan mengejutkan bahawa beliau ialah bapa Luke.
Menurut penganjur lelongan, Heritage Auction, lightsaber tersebut menunjukkan kesan penggunaan sebenar di set penggambaran seperti calar, kerosakan pada pemegang dan beberapa komponen yang hilang.

Keadaan pedang itu membantu mengesahkan keasliannya sebagai prop yang benar-benar digunakan dalam penggambaran filem.
Rekod baharu ini mengatasi jualan lightsaber Luke Skywalker yang sebelum ini memegang rekod memorabilia Star Wars termahal.
Lightsaber ialah pedang fiksyen yang dipaparkan dalam francais Star Wars.
Ia ditunjukkan sebagai pedang laser bercahaya sepanjang kira-kira 3 kaki (0.91 m) yang pertama kali diperkenalkan dalam filem Star Wars yang asal (1977) dahulu.
