Maklumat Spesifikasi OnePlus 6 Mula Berlegar Di Internet

Sudah menjadi lumrah sesuatu model telefon pintar, semakin hampir dengan pelancaran, semakin banyak informasi mengenainya terbocor.

Terbaru, dikutip dari laman Weibo, imej dibawah memperlihatkan spesifikasi lengkap telefon pintar OnePlus 6.



Umum mengetahui bahawa OnePlus merupakan syarikat pengeluar dibawah payung OPPO, dan dari segi rekaan ia OnePlus 6 dikatakan bakal kelihatan seperti OPPO R15.

Berdasarkan imej, OnePlus bakal membawakan sebuah peranti yang mempunyai skrin paparan AMOLED berukuran 6.28 inci dengan resolusi 2280x1080.

Ia turut dihuni dengan cip pemprosesan flagship keluaran Qualcomm, Snapdragon 845 dan dijana dengan bateri sebesar 3450mAh. Memori RAM adalah 6GB dan akan ditemani dengan ruang storan 64GB, 128GB atau 256GB.

Perhatian harus diberikan kepada tetapan kamera selfie yang menggunakan kamera 20MP, dibekalkan dengan ciri Beautify berasaskan AI. Tidak cukup dengan itu, panel belakang menampilkan dwi kamera 16MP serta 20MP.

Dikhabarkan juga, untuk fungsi nyahkunci skrin, ia akan menggunakan dua kaedah, pengimbas cap jari dibahagian belakang dan ciri imbasan wajah yang dikatakan mirip FaceID milik Apple. Harga jualannya pula diramal sekitar $749 (~RM2899).

Sumber: FirstPost