Majlis Olimpik Antarabangsa Tolak Acara e-Sukan Mengandungi Unsur Keganasan

Sukan Asia 2018 Jakarta-Palembang yang baru sahaja berakhir minggu lepas telah mencipta sejarah apabila menjadi sukan besar pertama yang mempertandingkan acara e-sukan. Enam acara telah diadakan iaitu Arena of Valor, Clash Royale, Hearthstone, League of Legends, Pro Evolution Soccer dan StarCraft 2.

Ia sekaligus menandakan penerimaan Majlis Olimpik Antarabangsa(IOC) terhadap acara itu untuk dipertandingkan di Sukan Olimpik kelak. Namun, Presidennya Thomas Bach menegaskan bahawa mereka menolak permainan berunsur keganasan untuk diadakan di temasya sukan terbesar di dunia itu.



Keganasan dalam konteks majlis berkenaan didefinisikan sebagai 'keperluan untuk membunuh' bagi menjadi pemenang. Ini bermakna permainan seperti Dota 2, Counter Strike, Fortnite, PUBG dan sebagainya hampir pasti tidak akan diadakan langsung di temasya berkenaan.

Bercakap mengenai sukan ganas sedia ada di Olimpik seperti tinju dan gusti, Bach berkata ianya berbeza kerana kedua-dua sukan itu dijalankan dengan penuh peraturan dan kawalan oleh juri. Dengan penegasan ini, mungkin kita hanya akan melihat permainan berkaitan sukan sahaja yang akan dipertandingkan di temasya Olimpik kelak.

 

Sumber