Lindungi Data Peribadi, Elak Muat Naik Secara Terbuka Dalam Talian

Sering kali kita mendengar isu kebocoran data peribadi yang berlaku pada organisasi tertentu, khususnya di Malaysia. Sudah pastinya, ketirisan data ini menimbulkan kebimbangan awam, terutamanya pengguna yang menjadi mangsa kejadian berkenaan.

Namun begitu, tanpa disedari tindakan oleh sebilangan pengguna adakalanya turut mendorong kepada kebocoran data peribadi. Bagaimana? Melalui muatĀ naik data peribadi secara terbuka di platform dalam talian.

{suggest}

Dalam siri pendedahan Pendakwah Teknologi, sejumlah data merangkumi pelbagai tujuan dilihat telah dimuat naik secara terbuka di platform dalam talian - seperti di dokumen.tips, Scribd, Slideshare (juga dimiliki oleh Scribd) dan lain-lain.

Kapsyen: kredit: Pendakwah Teknologi




 

Di Scribd contohnya, cari sahaja senarai nama atau program dan dengan mudah akan terpampang sejumlah data dalam skala kecil atau besar - meliputi data murid dan guru sekolah, pelajar universiti, petugas atau peserta program, penerima bantuan serta lain-lain. Malah, maklumat sensitif yang melibatkan kata laluan, nombor kad pengenalan dan nombor telefon turut terdedah.



Terdapat dua kemungkinan - sama ada ia merupakan kaedah lebih mudah yang digunakan untuk perkongsian maklumat program, atau dimuat naik secara random. Bagi yang biasa menggunakannya, anda mungkin tahu dengan memuat naik apa sahaja dokumen ke Scribd membolehkan pengguna memuat turun dokumen lain sebagai pulangan.

Manipulasi data


Bukan perkara baharu, bekas Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Jailani Johari pada tahun 2017 turut mengingatkan orang ramai supaya tidak memuat naik atau mendedahkan sebarang dokumen peribadi di laman media sosial.

Tindakan sedemikian membuka ruang dan peluang kepada pihak tidak bertanggungjawab memanipulasi data peribadi, termasuk menggunakannya bagi tujuan aktiviti penipuan. Secara tidak langsung, ia merisikokan pengguna lain.

Di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi (PDPA) 2010, tindakan tegas juga boleh diambil bagi mereka yang menceroboh dan menggunakan maklumat tanpa kebenaran sehingga memudaratkan pemilik data.

Amalan terbaik


Sebagai amalan terbaik, adalah penting untuk kita peka dan cakna tentang keselamatan data peribadi. Sebaiknya pihak yang bertanggungjawab, termasuk individu itu sendiri - perlu menitikberatkan perlindungan data peribadi dan elakkan memuat naik secara terbuka melalui platform dalam talian dengan sewenang-wenangnya.

Sekiranya penting, muat naik dokumen berkenaan melalui perkhidmatan berbayar atau percuma seperti Google Doc, Drive dan sebagainya. Akan tetapi, tetapkan akses dokumen terhad kepada diri sendiri atau terkawal.

Bagi individu yang merasakan bahawa data peribadi yang diproses telah melanggar mana-mana peruntukan Akta boleh membuat aduan kepada Pesuruhjaya Perlindungan Data Peribadi.

Gambar utama: NAO UK