Kursus Permainan Video Bakal Diperkenalkan Di Universiti

Permainan video nampaknya semakin diterima baik oleh pelbagai pihak di peringkat global. Buktinya, baru-baru ini Universiti Sains & Teknologi Huazhong mengesahkan mereka akan memperkenalkan kursus berkaitan permainan video tidak lama lagi.

Kursus yang bakal disediakan bermula September 2019 itu bertujuan untuk memberikan lebih pengetahuan berkaitan permainan video kepada anak muda yang berminat. Salah seorang pensyarahnya, Xiong Shuo berkata, kebanyakan anak muda meminati permainan video namun tidak memahaminya secara mendalam.


Kredit : GoCrowDera


Menurut beliau lagi, kursus itu bukanlah melatih mahasiswa untuk bermain, namun lebih kepada kajian berkaitan pembangunan permainan, teknologi, industri serta psikologi. Xiong yang juga merupakan pemegang PhD daripada sebuah universiti di Jepun memberitahu bahawa beliau mahu membawa segala pengalaman dan pengetahuan yang diperolehi di sana bagi membangunkan industri permainan video di China.

Menurut Laporan Pembangunan Industri Permainan Video China 2017, industri berkenaan berjaya memperolehi pendapatan sekitar RM 130 billion sepanjang tahun lepas. Ini membuktikan bahawa industri tersebut mempunyai masa depan yang sangat baik, bukan sahaja di China, malah di peringkat global.

Kerajaan Malaysia juga mungkin boleh mengambil contoh daripada perkara ini bagi membangunkan industri permainan video di negara kita. Semoga industri ini terus membangun di masa akan datang.

 

Sumber