Menu
WISER.MY
  • Pergi ke Wiser.my
  • Berita
  • Ulasan
  • Trivia
  • Tips Gajet
  • Promosi
  • Youtube
  • Senarai
  • Harga
  • Hubungi Kami
WISER.MY
Krisis RAM Paksa Google Perketat Penggunaan Memori Aplikasi Android

Krisis RAM Paksa Google Perketat Penggunaan Memori Aplikasi Android

Diterbitkan Ogos 28, 2026 · Dikemas kini Ogos 28, 2026 oleh Amsyar Latif

Kenaikan kos dan kekangan bekalan memori kini bukan sahaja memberi kesan kepada perkakasan, malah turut memaksa Google mengetatkan penggunaan RAM oleh aplikasi Android.

Menerusi Android Developers, Google berkata industri mudah alih sedang berdepan kekangan bekalan perkakasan yang memberi kesan kepada jumlah memori tersedia pada peranti. Keadaan itu berpotensi menjejaskan pengalaman pengguna apabila aplikasi menggunakan memori secara berlebihan.

Sebagai tindak balas, Android memperkenalkan had penggunaan memori yang lebih luas bagi mengelakkan sesebuah aplikasi menggunakan RAM secara berlebihan sehingga menyebabkan prestasi keseluruhan sistem menjadi perlahan.

Pada masa sama, Google Play akan memperkenalkan syarat prestasi baharu bagi aplikasi dan permainan. Ia meliputi penggunaan memori dinamik, penggunaan memori oleh bitmap serta pengoptimuman kod DEX.

Penggunaan memori dinamik akan mengambil kira memori yang digunakan oleh data peribadi aplikasi, termasuk memori aktif dan dimampatkan. Google akan menilai penggunaan tersebut berdasarkan keadaan aplikasi, sama ada ketika digunakan, berjalan di latar belakang atau berada dalam cache, serta mengikut kategori prestasi peranti.

Google turut menetapkan aplikasi yang diterbitkan melalui Google Play perlu mempunyai sekurang-kurangnya 25% liputan pengoptimuman, pengecilan dan pengaburan kod, menggunakan R8 atau alat lain yang setara.

Mulai Februari 2027, aplikasi dan permainan perlu memenuhi syarat prestasi yang ditetapkan bagi penggunaan memori, bitmap serta pengoptimuman kod DEX.

Aplikasi yang menggunakan memori terlalu tinggi sehingga gagal memenuhi syarat tersebut boleh berdepan pengurangan keterlihatan serta keupayaan penerbitan di Google Play.

Google juga sudah mula menyediakan metrik baharu melalui Android vitals untuk membantu pembangun mengenal pasti penggunaan memori berlebihan, termasuk mengesan keadaan apabila Android terpaksa menamatkan aplikasi akibat tekanan memori yang tinggi.

Langkah ini menunjukkan bagaimana kekangan bekalan dan kos perkakasan akhirnya turut mempengaruhi pembangunan perisian, dengan Google kini mahu aplikasi Android menjadi lebih cekap menggunakan RAM bagi memastikan pengalaman pengguna kekal baik walaupun kapasiti memori peranti semakin terhad.

Berkaitan

  • Google Mula Lancarkan ‘Advanced Flow’ Untuk 'Sideload' Aplikasi Android
  • Nothing OS 5.0 Diumumkan Dengan Android 17 - Ini Sejumlah Ciri Baharu Yang Ditawarkan

Cari Artikel

Buka artikel ini di Wiser.my
BUKA

Terbaru

  • (Ulasan) HONOR 600S — Tahan Lasak Dengan Bateri 8,100mAh, Tapi Bukan Untuk Semua Orang
  • Microsoft Tawar 60,000 Pekerja Mereka Berhenti Sukarela Sambil Berbelanja Besar Pada AI
  • iOS 27.2 Tersedia Dengan Ciri Baharu, Lebih 160 Kelemahan Keselamatan Dibaiki
  • OpenAI Lancar GPT-6.1 Terra, Lebih Pantas Dengan Ketepatan Fakta Dipertingkat
  • SoftBank Rancang Pelaburan AS$50 Bilion Dalam Teknologi Di Malaysia - PM Anwar
  • Selepas Didenda €200 Juta, Temu Janji Perketat Kawalan Penjualan Produk Tidak Sah
  • iPad mini Baharu Rasmi Dengan Skrin OLED, Cip A20 Pro, Harga Bermula RM2,999
  • Fungsi Navigasi TuJu Alami Gangguan, Pemulihan Dijangka Selesai Selewatnya 6 November
©2026 WISER.MY