Ketahui Perbezaan Di Antara "Cookies" Dan "Cache"

Cookie(s) dan cache adalah dua terma yang sering kita dengar semasa melayari internet. Hakikatnya, masih ramai yang kurang tahu mengenai apa sebenarnya yang dimaksudkan oleh dua terma tersebut? Benda yang sama ataupun berbeza?

Jadi, untuk menjawab persoalan itu, jom kami bantu anda dalam mengenali dua terma ini dengan lebih rapat lagi.

Kedua-duanya merupakan maklumat yang akan disimpan di dalam komputer. Bezanya, cache adalah maklumat mengenai laman sesawang yang dilawati manakala cookies pula ialah maklumat pengguna yang diakses oleh laman sesawang dan disimpan di dalam komputer.

Cache disimpan bagi membolehkan laman sesawang dapat dibuka dengan lebih pantas. Ini kerana ia menyimpan elemen-elemen yang diperlukan untuk membuka laman tersebut(seperti fail grafik, fail skrip dsb).

Oleh sebab itu, sekiranya pengguna memadamkan cache yang ada pada pelayar, laman sesawang akan mengambil masa yang sedikit lama untuk dibuka.



Selain itu, cache mengambil ruang simpanan yang sedikit besar untuk menyimpan maklumat-maklumat berkaitan. Cache juga perlu dipadamkan secara manual dalam setiap tempoh masa yang tertentu, sebaiknya sekali setiap bulan.

Cookies pula, sesuai dengan definasinya, menggunakan laman sesawang yang dilawati untuk memperolehi seterusnya menyimpan data pengguna. Ia seterusnya akan dapat diakses semula komputer ketika ia digunakan oleh pengguna asal dan pengguna lain.

Antara maklumat atau data yang disimpan adalah minat pengguna, jenis laman sesawang yang dilawati, barangan yang diletakkan pada kart belian dan banyak lagi.

Berbeza dengan cache, cookies biasanya disimpan di dalam sistem komputer untuk tempoh yang lebih singkat.



Cookies pernah menimbulkan kerisauan mengenai keselamatan privasi pengguna, namun ia semakin diterima hari ini selepas pengguna lebih memahami mengenai fungsi dan kegunaannya.

Cache dan cookies mempunyai kegunaan dan fungsi masing-masing dalam kegiatan atas talian kita selama ini.

Cache secara amnya tidak mendatangkan kemudaratan namun cookies boleh menyebabkan pelanggaran privasi pengguna jika disalah gunakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Oleh itu, kita sebagai pengguna perlu bijak dalam menjaga keselamatan dan privasi kita semasa berada di dunia maya agar tidak mendatangkan kesan buruk terhadap kita di dunia nyata.

 

Sumber: Techdifferences   Differencebetween   Medium

Berkaitan