Kerajaan sedang meneliti akta tertentu bagi mempertimbangkan hukuman lebih berat untuk kesalahan berkaitan kegiatan mencuri kabel komunikasi sehingga menyebabkan gangguan perkhidmatan.
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata ketika ini proses dapatan, maklum balas dan beberapa perkara dalam bidang kuasa atau di bawah Kanun Keseksaan sedang diambil kira sebelum ia dikuatkuasakan.
Pada masa sama pengalaman di negeri-negeri tentang kecurian kabel atau vandalisme ini akan kita selaraskan respons supaya satu penyelesaian menyeluruh dapat kita usahakan.
Fahmi ditanya mengenai perkembangan proses untuk menguatkuasakan hukuman itu yang dilapor akan dicadangkan dalam pindaan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang sedang diperincikan oleh Jabatan Peguam Negara.
Ditanya mengenai tempoh pelaksanaannya, Fahmi berkata, beliau berharap beberapa perkara dapat diluluskan di peringkat jemaah menteri untuk dibawa ke sidang Parlimen yang sedang berlangsung atau jika tidak, dalam sidang akan datang.
Pada 17 Jun lepas, Fahmi dilaporkan berkata, kerajaan sedang mempertimbangkan hukuman yang lebih berat bagi kesalahan berkaitan kegiatan mencuri kabel komunikasi untuk membendung aktiviti itu yang semakin berleluasa ketika ini.
Sumber: BERNAMA
