Kenali Jenis-Jenis Monitor PC Dan Aplikasi Yang Sesuai

Di luar sana, terdapat pelbagai jenis monitor yang dijual di pasaran. Selain hanya mengetahui saiz skrin paparan, terdapat beberapa spesifikasi yang perlu anda tahu untuk mengikut keperluan kerja dan aktiviti anda semasa di hadapan komputer. Kami cuba memberikan sedikit maklumat penting dalam bentuk saiz skrin, jenis panel, kadar refresh, dan resolusi bagi menentukan monitor PC mana yang sesuai untuk anda.

#1 Saiz Skrin


Perkara pertama yang kita akan sedari adalah saiz skrin itu sendiri. Saiz skrin seperti 34-inci pasti memukau mata sesiapa yang melihatnya, begitu juga dengan harganya. Untuk saiz yang normal, 22 hingga 27 inci sudah mencukupi tetapi dalam masa yang sama tidak memberi impak yang besar terhadap dompet anda.

Saiz skrin tidak memainkan faktor penting dalam aplikasi seperti gaming, cuma ia memberikan aspek kepuasan semasa anda melihat kandungan di dalamnya. Skrin yang besar memerlukan kiraan piksel yang tinggi bagi mengimbangi saiz monitor yang besar agar kandungan paparan tampak lebih 'hidup' dan mengujakan.



Monitor tradisional menampilkan paparan rata tetapi teknologi monitor berlengkung kini juga menjadi pilihan kepada pengguna. Skrin lengkungan (curved) juga menjadi pilihan buat gamers di luar sana tetapi anda perlu bersedia mengeluarkan wang yang lebih kerana monitor jenis ini sudah boleh dikategorikan sebagai kelas premium. Ini kerana paparan jenis ini menampakkan isi kandungan yang luas (wide-angle) dan permainan seperti First-person-shooter sangat sesuai untuk monitor jenis ini.

FreeSync VS G-Sync?


Apabila bercakap mengenai monitor gaming, ada dua jenama yang dominan menguasai ruang ini iaitu FreeSync dari AMD dan G-Sync dari NVIDIA. Masing-masing mempunyai kelebihan tersendiri. Untuk maklumat lanjut, baca mengenai FreeSync vs G-Sync: Mana Satu Yang Lebih Sesuai?

#2 Jenis Panel


Panel yang digunakan untuk monitor adalah berbeza yang menyumbang kepada kebaikan dan keburukan masing-masing. Ada 3 jenis panel apabila kita bercakap mengenai monitor PC; IPS, VA dan juga TN. Ketiga-tiga panel ini menawarkan kadar refresh, penghasilan warna dan sudut melihat yang berbeza.

IPS (In-Plane Switching)


Panel yang terbaik ketika ini dan banyak digunakan untuk kebanyakkan panel paparan di pasaran ketika ini. Panel ini memberikan penghasilan warna yang lebih terang dan tepat. Monitor juga boleh dilihat dari pelbagai sudut penglihatan tanpa gambar tampak 'merosot'.



Keburukannya pula adalah kadar refresh yang rendah dan masa bertindak balas yang tinggi membuatkan panel ini tidak sesuai untuk aktiviti gaming kompetitif. Namun dengan peningkatan teknologi masa kini, masalah ini sedikit sebanyak berjaya diatasi.

TN (Twisted Nematic)

Panel dari jenis TN ini pula secara tradisionalnya memberikan pengguna kadar refresh dan masa bertindak balas yang rendah. Namun penghasilan warna yang kurang terang dan tidak menyerlah membuatkan pengalaman menonton di panel TN kurang memberangsangkan.

VA (Vertical Allignment)

Panel VA dihasilkan bagi menggabungkan kelebihan yang ditawarkan oleh panel IPS dan TN. Panel ini memberikan kadar refresh yang lebih tinggi yang ditawarkan oleh IPS tetapi masa bertindak balas yang lebih cepat dari IPS. Oleh disebabkan itu, pergerakan pantas di dalam gaming boleh menyebabkan pergerakan gambar menjadi kabur.

Dari segi menonton dan aktiviti biasa, VA menawarkan penghasilan warna yang lebih baik dan tepat dari panel TN. Sudut melihat juga lebih luas berbanding TN.

#3 Kadar Refresh


Kadar refresh  memainkan peranan penting dalam teknologi monitor kerana spesifikasi ini yang akan menentukan pengalaman yang baik semasa menggunakan monitor.

Untuk aplikasi seperti gaming, FPS yang tinggi diperlukan bagi mendapatkan gameplay yang lancar tanpa sebarang gangguan lag. Secara asasnya, panel dengan kadar refresh 60Hz dapat memberikan pengalaman bermain yang normal.

Kini terdapat pelbagai monitor dengan kadar refresh yang lebih tinggi seperti 120Hz sehingga 240Hz. Namun terdapat pendapat mengatakan yang mata manusia hanya boleh melihat sehingga 144Hz sahaja. Jika monitor digunakan selain untuk gaming, 60Hz sudah memadai.

#4 Masa Tindak Balas


Masa tindak balas atau response time bertindak sebagai masa yang diambil oleh monitor untuk memproses data yang dihantar oleh PC dan memaparkannya di skrin.

Semakin rendah masa tindak balas semakin canggih monitor diperlukan untuk memaparkan grafik atau video yang telah diproses.

Kebanyakkan monitor hari ini menampilkan masa tindak balas sebanyak 1ms. Itu sudah memadai bagi kesemua aplikasi yang digunakan bersama-sama monitor anda. Ia juga mengelakkan monitor mengalami apa yang dipanggil sebagai input lag.

#5 Resolusi


Resolusi adalah spesifikasi yang menentukan butiran yang jelas untuk monitor. Semakin tinggi resolusi semakin jelas butiran yang akan terpapar di skrin. Namun, kuasa pemprosesan yang lebih tinggi diperlukan untuk resolusi yang tinggi.

Ini secara tidak langsung meningkatkan kuasa kad grafik yang memproses maklumat grafik dan menyebabkannya ia cepat panas.

Terdapat beberapa resolusi asas yang perlu anda tahu:

HD 720p (1280 x 720)

FHD 1080p (1920 x 1080)

QHD 1440p-2K (2560 x 1440)

UHD 2160p-4K (3840 x 2160)

Ini semua bergantung kepada dompet masing-masing. Untuk tetapan resolusi tinggi, kad grafik dan monitor memainkan peranan penting. Untuk resolusi biasa dan puas hati, 1080p sudah memadai dan kad grafik pertengahan sudah menyokong resolusi ini.

Kesimpulan


Semuanya berbalik kepada modal atau bajet yang anda peruntukkan untuk membeli monitor. Tidak guna juga berbelanja tinggi untuk kad grafik tetapi meletakkan bajet yang rendah untuk monitor lebih-lebih lagi untuk digunakan dalam jangka masa yang lama.