Kajian Mendapati Pengguna Malaysia Menunjukkan Minat Yang Tinggi Terhadap iPhone 8

Pelbagai reaksi dan pendapat boleh kita lihat setelah Apple melancarkan iPhone 8, iPhone 8 Plus, serta iPhone X ke pasaran dan sesetengah peminat berasakan harga jualan bagi 3 model tersebut agak keterlaluan.

Bagi merungkai sama ada iPhone terbaru daripada Apple ini diminati atau tidak oleh rakyat Malaysia, satu analisis telah dilaksanakan oleh iPrice Group menerusi Google Trends.

Analisis tersebut telah dijalankan selama seminggu iaitu diantara 12 September 2017 sehingga 18 September 2017. Hasil pencarian tertinggi mula direkodkan seawal 3 pagi 13 September (hari pelancaran) dengan kata kunci "iPhone X" dan "iPhone 8" banyak dibuat oleh pengguna Malaysia.



Pada pukul 7 pagi hari yang sama, carian kembali meningkat tetapi tidak setinggi pukul 3 pagi dan ini menunjukkan bahawa kebanyakkan rakyat Malaysia sanggup berjaga sehingga lewat pagi untuk menyaksikan acara pelancaran iPhone yang baru itu.

Kajian lain turut dibuat keatas negara jiran dan dapatan analisis sedikit berbeza berbanding Malaysia. Seperti contoh, carian harga bagi iPhone X dan iPhone 8 lebih tinggi di Malaysia tetapi rakyat di negara jiran berminat untuk membuat carian bagi harga iPhone model terdahulu seperti iPhone 6 dan iPhone 7. Hal ini boleh dikaitkan dengan ekonomi Malaysia yang kini berada di tangga ketiga bagi Keluaran Dalam Negara Kasar di rantau Asia Tenggara dan dilihat kuasa membeli rakyat Malaysia lebih tinggi berbanding negara jiran yang lain.

Kapsyen: Kredit: World Atlas


Untuk kategori Plus pula, analisis yang dibuat mendapati rakyat Malaysia lebih berminat dengan iPhone 7 Plus berbanding iPhone 8 Plus kerana harganya yang murah dan juga ruang memori yang lebih besar.

Selain dari "iPhone", kata kunci seperti "screen" dan "camera" banyak direkodkan di Malaysia dalam tempoh seminggu tersebut.

Seperti yang kita sudah tahu, iPhone 8 dan iPhone 8 Plus bakal menembusi pasaran tempatan 20 Oktober depan. Berdasarkan kajian yang dilakukan ini, adakah anda salah seorang yang menanti-nanti saat  untuk memiliki iPhone 8?

Sumber: iPrice Group dan Malaysian Wireless