iQOO Umum Pengecasan Pantas 120W Secara Rasmi - Boleh Penuhkan 4000mAh Dalam Masa 15 Minit

Sudah bosan dengan pemasaran cip oleh pengeluar? Jangan risau kita kini ada strategi pemasaran baharu oleh mereka. Terbaru, iQOO iaitu sebuah sub-jenama oleh vivo yang popular di China dan India telah mengumumkan teknologi pengecasan pantas berkuasa 120W untuk kegunaan komersil.

Jika sebelum ini anda sering melihat ura-ura, prototaip atau peranti konsep dengan pengecasan pantas 100W atau 120W, kini ia sudah menjadi realiti dan iQOO jenama pertama yang akan menggunakannnya.

Pengecasan 120W itu diberikan nama Super FlashCharge dan boleh memenuhkan bateri berkapasiti 4,00mAh hanya dalam masa 15 minit sahaja. Kelajuan ini adalah 2 kali ganda lebih pantas berbanding teknologi pengecasan selama ini yang hanya berkelajuan 65W sahaja.

Untuk mencapai kelajuan pengecasan pantas ini, teknologi yang digunakan adalah membahagikan pengecasan kepada 2 laluan dimana setiap satu bateri akan menerima sebanyak 5V 12A (60W) daripada palam pengecas 20V 6A.

iQOO 120W fast charging tech

Dengan kelajuan berkuasa ini, sudah tentu ia mengundang musuh utama bateri iaitu haba dan suhu. Disebabkan itulah, iQOO menggalakkan penggunaan lapisan tambahan grafit atau pengejukan yang lebih efektif. Ini secara tidak langsung dapat membantu mengurangkan suhu keseluruhan papan induk dan perkakas dalaman.

Menurut iQOO, jenama itu akan menawarkan teknologi pengecasan 120W ini pada peranti mereka seawal Ogos ini. Namun, bukan iQOO sahaja yang mempunyai akses kepada teknologi ini. Malah, syarikat seperti OPPO juga bakal hadir dengan pengecasan pantas 125W sendiri pada 15 Julai ini.

Sumber: Weibo

Berkaitan