Syarikat aeroangkasa dan roket terkemuka milik Elon Musk, SpaceX, mengesahkan bakal memulakan dagangan rasmi di pasaran saham Nasdaq pada hari Jumaat.
Langkah ini menandakan penawaran awam permulaan (IPO) terbesar dalam sejarah pasaran kewangan dunia, sebuah kemunculan blokbuster yang berpotensi memacu usahawan kontroversi tersebut menjadi trillionaire pertama di dunia.
Menerusi dokumen rasmi yang difailkan kepada pengawal selia pasaran modal Amerika Syarikat, SpaceX menetapkan harga bagi lebih 555 juta unit saham pada nilai $135 sesaham.
Langkah strategik ini secara langsung meletakkan nilai pasaran keseluruhan SpaceX mencecah $1.8 trilion.
Penilaian mega ini meletakkan SpaceX dalam senarai 10 syarikat terbesar di Wall Street, malah nilainya kini secara rasmi telah memotong nilai pasaran syarikat kereta elektrik milik Musk sendiri iaitu Tesla, selain gergasi media sosial Meta dan rangkaian runcit Walmart.
Melalui IPO ini, SpaceX disasarkan mampu meraih dana rekod sebanyak $75 bilion, memadamkan rekod lama milik Saudi Aramco ($29.4 bilion) pada tahun 2019.

Saham syarikat aeroangkasa yang diasaskan pada tahun 2002 ini akan didagangkan di bawah simbol ticker “SPCX” dengan penyenaraian selari di Nasdaq Texas.
IPO kali ini menjadi pertaruhan kewangan terbesar buat Musk memandangkan beliau telah menggabungkan entiti kecerdasan buatan syarikat xAI (pembangun bot sembang Grok) serta platform media sosial X (dahulu Twitter) ke dalam SpaceX awal tahun ini.
Menurut laporan Bloomberg, tawaran ini telah terlebih langgan (oversubscribed) sebanyak empat kali oleh bank-bank utama dan institusi kewangan.
Menariknya, lebih 20 peratus daripada saham tersebut akan dikhabarkan sedia diperuntukkan khas kepada pelabur runcit bagi memberi peluang kepada peminat setia Musk memiliki pegangan dalam syarikat tersebut.
Walau bagaimanapun, beberapa penganalisis Wall Street menasihatkan pelabur agar berhati-hati.
Walaupun SpaceX mencatatkan lonjakan hasil yang pantas mencecah $18.7 bilion pada tahun 2025, syarikat itu masih merekodkan kerugian bersih sebanyak $4.9 bilion.
Ini kerana penilaian tinggi SpaceX sebahagian besarnya bergantung kepada janji-janji berunsur fiksyen sains Musk yang belum terbukti, termasuk pembinaan pusat data di angkasa lepas dan misi menghantar manusia ke Marikh.
Setakat hari Khamis, kekayaan peribadi Musk berada pada paras $782 bilion mengikut senarai Forbes, dan kejayaan lonjakan saham SPCX pada hari Jumaat ini dijangka mampu menolak angka tersebut melepasi status satu trilion dolar. – AFP
{suggest}
