Ini Adalah Mengapa Tiada Komputer Riba AMD Ryzen Dengan Kad Grafik Melebihi RTX 2060

Buat masa ini, kesemua komputer riba AMD Ryzen 4000 yang terbaharu tidak dimuatkan dengan kad grafik melebihi NVIDIA GeForce RTX 2060. Carilah mana-mana jenama pun, varian paling tinggi hanya memuatkan RTX 2060 sahaja.

Ia menimbulkan persoalan dalam kalangan komuniti komputer riba mengapa hanya terhad kepada RTX 2060 sedangkan CPUnya adalah berkuasa setaraf varian dari cip Intel.

Melihat kepada jawapan di sebalik persoalan ini, IgorsLab mendedahan permasalahan pada cip AMD terutamanya Ryzen 4000H.

Menurutnya, kad grafik yang disertakan dengan cip ini hanya terhad kepada laluan 8 PCIe 3.0 sahaja dan bukannya 16 laluan PCIe.

Kapsyen: Hanya 8 sahaja laluan PCIe 3.0 untuk kad grafik (merah).


Tambahannya lagi, jika kad grafik yang lebih berkuasa dimuatkan dalam komputer riba AMD Ryzen 4000H, komputer riba itu akan mengalami masalah untuk mengendalikan kad tersebut.

Sebagai contoh, jika kad grafik jenis RTX 2070 disertakan, ia akan mengalami pengurangan prestasi sebanyak 3% ke 5% disebabkan ketidakserasian ini.

Untuk itu, IgorsLab melaporkan maksimum kad grafik yang paling optimum adalah RTX 2060 SUPER. Ini adalah mengapa hanya RTX 2060 sahaja yang dimuatkan pada komputer riba AMD kerana RTX 2060 SUPER untuk komputer riba masih belum wujud.

Apa yang lebih penting adalah, objektif AMD adalah untuk menawarkan komputer riba yang lebih 'mampu milik'. Jika kad grafik yang lebih berkuasa dimuatkan, sudah tentu ia akan membuatkan harga komputer riba mencanak naik.

Selain itu, kebanyakan komputer riba gaming dipasarkan dengan skrin 1080p dan RTX 2060 sudah mencukupi untuk bermain pada grafik tetapan Ultra.

Ini bermakna jika anda mahukan kuasa kad grafik yang lebih berkuasa, komputer riba Intel adalah lebih sesuai untuk dibeli.

Menariknya pada cip AMD Ryzen 4000G yang baru sahaja dilancarkan, terdapat 16 laluan PCIe 3.0 untuk kad grafik dan tidak terhad seperti AMD Ryzen 4000H.

Akan tetapi, pada pendapat saya, kad grafik yang lebih berkuasa mendatangkan masalah yang lebih serius seperti haba dan juga jangka hayat yang kejap.

Jadi, jika hanya setakat bermain permainan menggunakan RTX 2060 pun, ia masih tidak menjadi masalah.

Sumber: IgorsLab