Awal pagi ini, AMD secara rasminya telah memperkenalkan barisan CPU siri Ryzen 5000 (Vermeer) khas untuk desktop.
Jika di komputer riba, AMD telah memperkenalkan siri Ryzen 4000, namun untuk desktop ia tidak menggunakan nama sama sebaliknya terus melangkau ke nombor 5000 pula.
Ini adalah untuk mengelakkan kekeliruan kerana Ryzen 4000 pada komputer riba masih lagi menggunakan senibina Zen 2 sedangkan Ryzen 5000 pula Zen 3.
Tambahan lagi, Zen 3 pada Ryzen 5000 merupakan naik taraf utama dan bukanlah peningkatan kecil.
Secara keseluruhannya, Ryzen 5000 hadir dengan binaan 7nm, mempunyai 19% peningkatan dalam instruction per Cycle (IPC), rekaan struktur cip baharu dan prestasi lebih pantas.
Model CPU
Terdapat 4 model CPU yang diperkenalkan pada permulaan ini iaitu Ryzen 9 5900X, Ryzen 7 5800X, Ryzen 5 5600X dan model paling berkuasa iaitu Ryzen 9 5950X:
- AMD Ryzen 9 5950X
Teras / Bebenang: 16 / 32 TDP: 105W Kelajuan / Asas: 4.9 / 3.4 GHz Cache: 70MB Harga: $799
- AMD Ryzen 9 5900X
Teras / Bebenang: 12 / 24 TDP: 105W Kelajuan / Asas: 4.8 / 3.7 GHz Cache: 70MB Harga: $549
- AMD Ryzen 7 5800X
Teras / Bebenang: 8 / 16 TDP: 105W Kelajuan / Asas: 4.7 / 3.8 GHz Cache: 36MB Harga: $449
- AMD Ryzen 5 5600X
Teras / Bebenang: 6 / 12 TDP: 65W Kelajuan / Asas: 4.6 / 3.7 GHz Cache: 35MB Harga: $299
Untuk kesemua CPU baharu ini, ia akan mula tersedia dijual pada 5 November.
Perbandingan Dengan CPU Intel
AMD juga turut memperlihatkan prestasi CPU Ryzen 5000 terbaharu ini yang dibandingkan dengan Intel Core i9-10900K, yang merupakan CPU gaming paling berkuasa menurut Intel.
Secara keseluruhannya, AMD mendakwa Ryzen 9 5900X mengalahkan Intel Core i9-10900K untuk prestasi pada majoriti permainan yang diperlihatkan seperti League of Legends, PUBG, Dota 2, F1 2019, Total War Three Kingdoms, CS:GO, Shadow of The Tomb Raider, Far Cry New Dawn dan juga Ashes of The Singularity.
AMD juga turut membandingkan markah teras tunggal dari perisian Cinebench antara kedua-dua cip tersebut. Menurut mereka, Ryzen 5900X 21% lebih pantas berbanding Intel Core i9-10900K secara tidak langsung membuktikan prestasi teras tunggal lebih berkuasa.
Dengan markah 631 pada Cinebench tersebut, ia merupakan CPU desktop pertama yang berjaya mencapai nilai tersebut.
Perbandingan Dengan CPU Generasi Sebelumnya
Berbanding Ryzen 9 3900XT, iaitu CPU desktop paling berkuasa sebelumnya, untuk Ryzen 5900X, AMD mendakwa peningkatan purata sebanyak 26% dalam prestasi gaming.
Untuk melihat prestasi sebenar CPU AMD Ryzen 5000 ini, sudah tentu ia perlu diuji terlebih dahulu apabila ia sudah mula dijual secara rasmi kelak.