AMD Umum Cip Papan Induk B550 Dengan Sokongan Pemprosesan Zen3

Untuk menantikan naik taraf perkakas PC terutamanya dari segi cip pemprosesan dan juga papan induk, sudah tentu mereka tidak sabar mendengarkan berita terbaru mengenai sokongan untuk cip pemprosesan AMD Ryzen generasi ketiga iaitu Zen3.

Berbeza dengan Intel, AMD melakukan kaedah sokongan yang bertahun lamanya dan untuk cip papan induk B550 yang terbaharu ini, ia turut tidak terkecuali. Berlainan dengan papan induk B450, B550 menyokong antara muka PCIe 4 untuk bahagian grafik dan juga storan pantas.



B550 juga akan menyokong cip pemprosesan terbaharu AMD Zen3, yang merupakan nadi di sebalik senibina Ryzen 4000. Buat masa ini, hanya papan induk dari B550 dan X570 sahaja yang menyokong Zen3. Sokongan untuk papan induk lain seperti pengganti kepada A320 mungkin akan hadir pada masa akan datang.



Selain itu, B550 ini juga tidak boleh dipasangkan dengan cip pemprosesan Ryzen 3000 yang mempunyai grafik Radeon Vega (APU) terbina. Ia hanya menyokong Ryzen 3000 biasa sahaja dan pengguna perlu memasang kad grafik AMD atau Nvidia secara berasingan.



Seperkara menarik lagi adalah B550 ini turut menyokong konfigurasi dwi-GPU yang selama ini hanyalah sesuatu yang eksklusif pada papan induk X470/X570 yang lebih mahal. Papan induk B550 ini akan mula dijual pada 16 Jun tidak lama lagi dengan harga pasaran bermula 100usd (~RM433).

Sumber: Videocardz