Nvidia GeForce RTX 3060 Ti Diumumkan Dengan Harga Rasmi Bermula RM1,800

Nvidia hari ini telah mengumumkan sebuah lagi kad grafik dalam siri RTX 30 iaitu GeForce RTX 3060 Ti. Ia merupakan penawaran paling mampu milik dalam siri itu setakat ini dan direka untuk mengatasi prestasi RTX 2080 dan RTX 2080 Super.

https://youtu.be/XgxlprDlZ_E

Secara purata, Nvidia mengatakan ia adalah 40% lebih pantas berbanding RTX 2060 Super. Melalui spesifikasi, RTX 3060 Ti hadir dengan memori 8GB, kelajuan asas 1410MHz, dan maksimum 1665MHz.

Ia mempunyai rekaan 2 kipas dan juga memakan 2 slot pada papan induk bersama-sama 12-pin penyambung kuasa.

Nvidia menyarankan kuasa sebanyak 600W untuk PC dengan kad grafik ini, dan menyatakan ia boleh menggunakan sehingga 200W secara kendiri.

Memfokuskan kepada prestasi ray-tracing, RTX 3060 Ti turut sama menyokong DLSS dan rangkaian aplikasi RTX Nvidia yang lain.



Melalui laman rasmi Malaysia, kad grafik RTX 3060 Ti ini dipasarkan pada harga jualan bermula RM1,800 dan boleh didapati pada 2 Disember. Jika berminat dengan RTX 3060 Ti pihak ketiga pula, mungkin anda perlu menunggu pengumuman dari pengeluar seperti MSI, Gigabyte, ASUS dan lain-lain.

Sumber: Nvidia Malaysia