Imej OPPO Find X3 Pro Didakwa Tertiris, Perlihatkan Rekaan Panel Belakang Yang Unik

Seperti yang diketahui, OPPO Find X3 Pro akan menjadi peranti pertama dari OPPO yang akan dilancarkan dengan janaan cip pemproses Snapdragon 888. Peranti ini juga dilaporkan telah memecah rekod skor tertinggi di platform ukur arasĀ AnTuTu.

Terbaru, Evan Blass kini telah memuat naik imej yang didakwa sebagai OPPO Find X3 Pro.



Ia dimuatkan dengan tetapan empat kamera yang kelihatan seperti versi mirror iPhone 12 Pro Max, tetapi dengan rekaan yang lebih unik. Untuk menyesuaikan modul kamera yang menonjol, panel belakang direka dengan binaan yang unik. Sudah tentu, tidak semua akan menyukai rekaan ini walaupun ianya adalah berbeza daripada apa yang dilihat pada kebanyakan peranti sebelum ini.

OPPO Find X3 Pro

Imej tersebut turut memperlihatkan Find X3 Pro dilengkapi paparan melengkung dengan butang kuasa di sisi kanan dan pelaras suara di sebelah kiri.

Menurut Evan Blass, peranti ini akan hadir dengan skrin berukuran 6.7-inci, resolusi 1440p, lensa makro dengan 25x zum. Antara lainnya adalah sokongan pengecasan SuperVOOC 2.0 dan sebagainya.

Sementara itu, Find X3 Pro dijangka hadir penghujung Mac atau awal April bersama Find X3 Neo dan Find X3 Lite.

Sumber: Voice via GizmoChina