OPPO Find X3 Pro Dijangka Hadir Dengan Panel 120Hz, 50MP Kamera Dan Cip Snapdragon 888

OPPO sebelum ini telah mengumumkan siri Find X3 akan dilancarkan pada suku pertama tahun hadapan. Umum mengetahui, OPPO juga telah mengesahkan siri Find X3 akan dimuatkan cip pemproses Snapdragon 888 dengan sokongan rangkaian 5G.

Terbaru, Evan Blass kini mendedahkan lebih banyak maklumat mengenai spesifikasi yang akan dimuatkan pada Find X3 Pro dengan nama kod "Fussi".

Find X3 Pro dijangka akan dilengkapi skrin bersaiz 6.7 inci dengan sokongan warna 10-bit, resolusi QHD+ (1440 x 3216) serta kadar segar semula adaptif sehingga 120Hz.

Spesifikasi Find X3 Pro

Ia mempunyai rekaan dengan skrin melengkung yang mempunyai ketebalan 8mm dan berat sekitar 190gram. Peranti ini mungkin ditawarkan dengan dua pilihan warna iaitu biru dan hitam.

Dari segi kamera, Find X3 Pro mempunyai empat kamera belakang yang terdiri daripada dua sensor 50MP IMX766 untuk kamera utama dan sudut lebar, 13MP 2x zum telefoto serta 3MP makro dengan menawarkan 25x zum, yang mempunyai cahaya di sekitar lensa dan berfungsi seperti mikroskop.

Selain itu, peranti ini dijangka akan didatangkan dengan kapasiti bateri 4500mAh yang menyokong pengecasan 65W SuperVOOC 2.0 dan tanpa wayar 30W VOOC Air serta dwi-antena NFC. Find X3 Pro akan menjalankan antaramuka ColorOS 11 yang berasaskan Android 11.

Sumber: voice