Huawei Watch GT - Jam Pintar Dengan 14-hari Ketahanan Bateri, Tidak Menggunakan Wear OS

Seiring dengan kemajuan teknologi, jam pintar menjadi semakin popular hari ini. Selain digunakan untuk melihat waktu dan tarikh, jam pintar juga boleh dijadikan sebagai fitness tracker, pengesan kadar degupan jantung dan membaca notifikasi.

Dengan fungsi menarik ini, tidak hairanlah hari ini syarikat pembangun telefon pintar mula menghasilkan jam pintar dengan kualiti yang sangat baik. Huawei juga tidak terlepas daripada melakukannya.

Ia dibuktikan apabila mereka memperkenalkan jam pintar Huawei Watch GT semasa majlis pelancaran siri Huawei Mate 20 semalam. Jam pintar ini didakwa mampu bertahan selama 14 hari penggunaan dengan sekali pengecasan penuh.



Peranti ini akan memiliki ciri dan fungsi yang hampir sama seperti kebanyakam jam pintar lain. Antaranya ialah ia boleh disambungkan dengan telefon pintar untuk membaca notifikasi. Selain itu, ia juga menyokong fungsi imbasan nadi, aktiviti kecergasan dan GPS.

Peranti ini hadir dengan skrin AMOLED 1.39-inci dan didakwa sebagai kalis air, di mana ia mampu bertahan sedalam 50 meter kedalaman. Namun, Watch GT tidak akan menggunakan sistem operasi Wear OS.

Peminat di Malaysia masih lagi perlu menunggu pengesahan daripada pihak Huawei mengenai ketibaan peranti ini ke Malaysia.