Huawei Uji Hong Meng Pada Telefon Pintar, Mungkin Berada Di Pasaran Tahun Ini

Pertama kali dilaporkan oleh media China, Global Times, sistem operasi yang dibangunkan oleh Huawei, Hong MengOS dikatakan sudah diuji pada telefon pintar.

Hong Meng sebelum ini dinyatakan bukanlah sistem operasi yang dibangunkan bagi menggantikan Android pada telefon pintar, tetapi lebih terarah kepada penggunaan peranti IoT. Produk pertama yang disebut bakal dilengkapi Hong Meng adalah televisyen pintar dari HONOR.

Menurut laporan Global Times yang dipetik dari Reuters, peranti yang dilengkapi dengan Hong Meng mungkin akan mula ditawarkan di pasaran pada penghujung tahun ini dengan harga sekitar 2000 yuan (~RM1203). Ini memberi gambaran, peranti yang akan ditawarkan merupakan sebuah peranti kelas permulaan/pertengahan.

Pihak Huawei juga tidak memberikan sebarang komen berkenaan perkara ini setelah dihubungi Reuters pada Isnin yang lalu.

Sumber: Reuters