TV Daripada HONOR Bakal Dilengkapi Dengan Kamera Terangkat

Terkenal sebagai sebuah pengeluar telefon pintar, HONOR tidak lama lagi bakal menembusi pasaran televisyen pintar dan spesifikasi mengenainya telahpun didedahkan beberapa hari yang lalu.

Syarikat itu menyebutnya produk itu sebagai paparan pintar dimana ia tidak hanya berfungsi seperti televisyen yang biasa tetapi mahu mengetengahkan inovasi lebih menarik padanya.

Pada acara Global Mobile Internet Conference (GMIC) minggu lepas, Presiden HONOR< George Zhao menyatakan paparan pintar tersebut bakal diperkenalkan pada 10 Ogos depan dan ia akan dikuasakan dengan cip Honghu 818.

Cip ini dibangunkan dengan hasil kerjasama antara Hisilicon dan Baidu, dimana ia berlainan daripada cip yang biasa dilihat pada peranti Huawei serta HONOR. Dikatakan juga Honghu 818 akan dioptimumkan khusu untuk produk paparan pintar yang menawarkan prestasi baik bagi kandungan bergambar serta audio.

Diperkenalkan pada awal bulan, cip tersebut disasarkan kepada peranti AI termasuklah perkakasan rumah pintar. Ia menyokong teknologi HDR, DCI, MEMC dan lain-lain bagi memberikan pengalaman video berkualiti tinggi.

Menariknya juga, paparan pintar HONOR turut dilengkapi dengan kamera terangkat. Selain berfungsi untuk menangkap gambar serta panggilan video, ia berkemungkinan juga digunakan bagi ciri keselamatan seperti pengesahan wajah.

Kapsyen: Imej | Android Authority


Paparan pintar ini bakal ditawarkan dengan dua versi iaitu standard serta Pro dan kedua-duanya berukuran 55 inci. Terdahulu, terdapat desas-desus mengatakan produk ini bakal dioperasikan dengan sistem HongMengOS, namun belum dapat dipastikan tentang kesahihannya lagi.