Huawei Tidak Lagi Menggunakan Komponen Dari A.S Dalam Produk Mereka

Termasuklah terhadap peralatan rangkaian 5G mereka.


Firma teknologi gergasi China, Huawei dilaporkan sudah mula untuk tidak lagi menggunakan komponen-komponen elektronik dari Amerika dalam produk-produk keluaran mereka. Ini termasuklah terhadap model telefon pintar terbaru dan rangkaian peralatan 5G mereka.

Ia bermakna, bermula tahun hadapan Huawei dijangka tidak lagi menggunakan sepenuhnya sebarang komponen A.S dalam barisan produk keluaran mereka.

Sebelum ini, laman seperti iFixit telah mengesahkan bahawa Huawei sudah berjaya meninggalkan komponen Amerika hasil penelitian ke atas model telefon pintar terbaru Huawei Mate 30 Pro.

Tidak setakat komponen bagi perkakasan, Huawei juga berjaya untuk tidak lagi bergantung kepada perisian yang dibangunkan firma Amerika seperti sistem operasi Android dan ekosistem Google dalam telefon pintar mereka.

Sebelum ini dilaporkan bahawa Huawei yakin Harmony OS akan mampu menjadi sistem operasi kelima terbesar dunia dalam tahun 2020 nanti.

Walaubagaimanapun, buat masa sekarang perubahan ini mungkin masih menyukarkan Huawei khususnya terhadap sokongan kepada pengguna mereka di seluruh dunia bagi mengurus dan membiasakan pengguna tanpa ekosistem Google pada peranti pintar keluaran mereka.

Sumber: GizChina

Berkaitan