Huawei Mate 30 Akan Dilancarkan Tanpa Perisian Serta Perkhidmatan Google

Huawei pada pertengahan bulan ini sekali lagi diberikan ruang untuk menggunakan perkhidmatan Google dimana lesen lanjutan diberikan untuk tempoh selama tiga bulan setelah lesen sementara pertama tamat pada 19 Ogos lepas.

Ini sedikit sebanyak menggambarkan bahawa peranti yang diperkenalkan ddalam tempoh ini boleh hadir lengkap dengan sistem operasi Android. Namun berdasarkan laporan terbaru, perkara sebaliknya terjadi apabila siri Mate 30 tidak termasuk dalam lanjutan berkenaan.

Jurucakap Google mengesahkan Huawei Mate 30 tidak boleh dipasarkan dengan versi penuh Android atau perisian dan perkhidmatan utama sistem operasi tersebut berikutan sekatan perdagangan Amerika Syarikat keatas Huawei.

Ini bermaksud, model itu masih menjalankan Android dimana ia merupakan perisian sumber terbuka yang tersedia secara percuma, tetapi tidak dilengkapkan dengan aplikasi seperti Google Maps, Google Play Store dan lain-lain. Ia bakal menjadi kekurangan besar kepada peranti kerana aplikasi -aplikasi ini penting dan digunakan secara meluas oleh pengguna.

Selain siri Mate 30, telefon pintar boleh lipat mereka, Huawei Mate X dan model-model lain yang dirancang untuk masa depan dijangka akan menerima nasib sama. Huawei sebelum ini ada menyatakan kepada Reuters bahawa mereka akan terus menggunakan Android selagi mana mereka dibenarkan oleh Amerika Syarikat tetapi akan terus membangunkan ekosistem dan sistem operasi mereka yang tersendiri.

Awal bulan ini, Huawei sedia melancarkan sistem operasi HarmonyOS (dikenali sebagai HongMeng OS di China) yang disebut akan digunakan secara meluas pada pelbagai jenis peranti seperti pembesar suara pintar, komputer, tablet, telefon pintar dan lain-lain. Peranti pertama yang dilengkapi dengan HarmonyOS adalah televisyen pintar HONOR Vision yang dilancarkan kira-kira seminggu selepas pengumuman sistem operasi tersebut.

Adakah ini petanda awal kita bakal melihat HarmonyOS pada telefon pintar? Sama-sama kita nantikan pelancaran siri Mate 30 yang dikatakan berlangsung pada bulan September ini.

Sumber: Forbes