Huawei Masih Disenarai Hitam Oleh Pentadbiran Trump

Hanya kata dimulut...


Disebalik pengumuman Presiden A.S, Donald Trump yang mengatakan bahawa syarikat-syarikat A.S boleh kembali semula berurusan dengan Huawei bermula minggu lalu, syarikat gergasi teknologi China itu sebenarnya masih disenarai hitam oleh pentadbiran Trump.

Ia berdasarkan laporan Reuters yang mendakwa pegawai kerajaan A.S diarah supaya tidak membuang nama Huawei dari senarai entiti di Jabatan Perdagangan A.S.

Menerusi semakan yang dibuat di laman Jabatan Perdagangan A.S juga mendapati tiada sebarang pengumuman rasmi berkenaan penarikan keluar Huawei dari senarai entiti. Bermakna, Huawei sebenarnya masih lagi disenari hitam oleh pentadbiran Trump.

Ia juga disahkan sendiri oleh jurucakap bagi pihak Jabatan Perdagangan A.S. Maka pengumuman janji Trump sebelum ini untuk menarik sekatan terhadap Huawei telah mengelirukan industri.

Malah dilaporkan juga setakat ini belum ada arahan jelas berkenaan bagaimana pihak pegawai Jabatan Perdagangan A.S untuk bertindak berdasarkan apa yang diumumkan Trump ketika pertemuan beliau dengan Presiden China di Jepun di Sidang Kemuncak G20 di Osaka, Jepun bulan lalu.

Walaubagaimanapun penasihat perdagangan Rumah Putih, Peter Navarro memaklumkan bahawa kerajaan A.S akan membenarkan cip "berteknologi rendah" dari syarikat A.S dijual kepada Huawei selagi ia tidak memberi kesan terhadap keselamatan negara.

Beberapa Senator  dari pentadbiran Trump telah respon terhadap pengumuman Trump yang menarik balik sekatan Huawei. Menurut mereka, jika Presiden Trump telah bersetuju untuk menarik balik sekatan terhadap Huawei, beliau telah membuat kesilapan besar.

Ini kerana ia hanya akan memusnahkan kredibiliti pentadbiran beliau dan tiada siapa lagi akan pernah memandang serius terhadap dakwaan yang dilemparkannya sebelum ini terhadap syarikat China tersebut.

Sumber: Gizmodo