Huawei FreeBuds 4i - Fon Telinga Ada ANC Tapi Macam Tak Ada

Huawei mungkin tidak dapat menawan hati pengguna untuk barisan telefon pintarnya disebabkan ketiadaan fungsi GMS. Akan tetapi, mereka tetap boleh bernafas dengan adanya produk seperti router, peranti boleh pakai dan juga peranti audio.

Sekitar pertengahan Mac yang lalu, Huawei selamat merasmikan fon telinga tanpa wayar dengan ciri pembatalan hingar aktif (ANC), iaitu FreeBuds 4i.

Huawei mengatakan yang mana fon telinga dengan ciri ANC tersebut antara yang mampu milik di pasaran. Namun sebenarnya indah khabar dari rupa.

Rekaan


Sebelum kita berbicara tentang kemampuan serta keupayaan yang ditawarkan, terlebih dahulu kita lihat pada rekaan yang ditampilkan.

Bekas simpanannya agak berbeza berbanding yang kita biasa lihat kerana ia berbentuk sedikit bujur dan belakangnya mempunyai permukaan yang rata.



Pada bahagian sisinya hadir dengan butang untuk kita melakukan reset atau memadankan dengan telefon pintar. Di bawahnya, terletak port pengecasan USB-C.



Fon telinganya pula, ia agak selesa untuk memakainya dimana pengguna tidak perlu memasukkan sehingga ke dalam lubang telinga dan tidak mudah terjatuh.

Ciri-Ciri dan Kualiti Audio


FreeBuds 4i tiada masalah untuk disabungkan melalui Bluetooth dengan mana-mana telefon pintar walaupun bukan daripada Huawei.

Meskipun begitu, pengguna perlu memasangkan (install) aplikasi Huawei AI Life bagi mendapatkan fungsi tambahan.

Dengan kapasiti bateri 55mAh pada buds dan 215mAh bekas simpanan, Huawei mendakwa ia mampu bertahan sehingga 10 jam main balik lagu dengan pengecasan penuh.



Beralih kepada keupayaan audio, FreeBuds 4i masih lagi mampu memberikan pengalaman yang baik ketika mendengar dan kesedapan untuk halwa telinga.

Walau bagaimanapun, sepanjang penggunaan, terasa ia agak tidak seimbang untuk sesetengah lagu. Ini kerana, kualiti bunyi yang dikeluarkan terlalu flat, bass yang kurang cemerlang dan kadangkala terasa bingit.

Selain itu, dari segi kawalan gestur, ia juga terhad dan tidak banyak pilihan yang boleh digunakan. Untuk kawalan, gestur, hanya dua jenis sahaja yang boleh dibuat.



Pertama double tap - main atau jeda (pause) lagu, pembantu suara dan mainkan lagu sebelum atau selepas

Kedua touch & hold - mod awareness, tutup atau buka fungsi ANC

Kesimpulan


Secara keseluruhan, Huawei tidak cukup memberikan kepuasan menerusi FreeBuds 4i. Ini kerana fungsi ANC seperti yang dipasarkan ibarat "asal ada". Tiada perbezaan apabila kita buka atau tutup fungsi tersebut.

Lain daripada itu, kawalan gestur itu juga kehilangan ciri penting iaitu untuk naikkan atau kurangkan volume audio.

FreeBuds 4i juga agak susah untuk sambungkan dengan peranti yang lain. Sebagai contoh, jika ia sudah dipadankan dengan peranti A, untuk menyambungkan ke peranti B pula, fon telinga itu harus disconnect dahulu daripada peranti A.



Malah, FreeBuds 4i juga tiada penarafan kalis air seperti yang terdapat pada kebanyakan fon telinga tanpa wayar.

Oleh itu, dengan tanda harga RM379, adakah ia berbaloi untuk dimiliki? Berdasarkan keseluruhan, FreeBuds 4i ini tidak berbaloi dibeli kerana harganya yang agak mahal.

Sekiranya Huawei meletakkan tanda harga jauh lebih murah seperti pada paras RM100, tiada masalah untuk kita beli.