Huawei Double Turbo : Kenali GPU Turbo & CPU Turbo Dengan Lebih Lanjut

Honor baru sahaja memperkenalkan peranti Note 10 mereka pada 31 Julai yang lalu. Sekali lagi mereka telah membawa kejutan apabila mengumumkan peranti tersebut akan didatangi dengan teknologi CPU Turbo, lantas membentuk pakatan Double Turbo untuk memberi pengalaman penggunaan menyeluruh yang lebih baik kepada pengguna.

Teknologi yang dibangunkan oleh Huawei ini hadir ketika orang ramai masih belum dapat memahami sepenuhnya tentang GPU Turbo yang diperkenalkan bersama Honor Play bulan lepas. Jadi atas rasa tanggungjawab, kami akan berkongsi serba sedikit berkenaan apa yang kami fahami berkenaan dua Turbo ini.

GPU Turbo

Pertama kali diperkenalkan pada Honor Play, teknologi ini bertujuan untuk memberi pengalaman bermain permainan video yang lebih baik kepada penggunanya. Melalui teknologi ini, peranti tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada kekuatan perkakasan dalaman.

Ini kerana ia akan mengoptimumkan penggunaan perisian permainan video bagi memberikan kualiti grafik yang terbaik sambil mengawal penggunaan kuasa bateri peranti. Menurut Huawei, GPU Turbo mampu meningkat tahap kecekapan unit pemprosesan grafik sehingga 60% serta mengurangkan penggunaan kuasa bateri sebanyak 30%.


Kredit : GSMArena


Teknologi ini turut akan hadir melalui kemaskini khas kepada peranti-peranti lain seperti Honor 10 dan Huawei P20 Pro secara berperingkat mulai bulan ini. Malangnya, GPU Turbo hanya menyokong permainan PUBG Mobile dan Mobile Legends sahaja buat masa ini.

Namun, pihak Huawei telah mengesahkan ia akan dibawa kepada permainan-permainan lain tidak lama lagi.

CPU Turbo

Berbeza dengan GPU Turbo, teknologi ini akan memberikan lebih clock speeds yang lebih tinggi pada CPU peranti di samping mengoptimumkan penggunaan RAM. Jika menurut kebiasaannya, lebih tinggi clock speeds, peranti akan lebih cepat panas dan bateri akan lebih cepat habis.

Oleh sebab itu, sebagai peranti pertama yang menggunakannya, Honor Note 10 hadir dengan bateri berkapasiti sebesar 5,000 mAh dan satu sistem penyejukan yang digelar 'The Nine'. Ia dilengkapi dengan 8 lapisan pelepasan serta lapisan kesembilan yang merupakan paip dengan cecair penyejukan yang sering digunakan pada PC.


Kredit : YugaTech


Huawei menjanjikan sehingga 41% pengurusan suhu yang lebih baik menerusi The Nine. Dalam kata lain, teknologi ini mampu untuk mengurangkan suhu unit pemprosesan peranti sebanyak 10°C berbanding sistem penyejukan biasa. Sekiranya nilai ini tepat, maka ia adalah satu langkah penyelesaian yang sangat baik daripada Huawei.

Bagaimanapun, teknologi ini dijangka tidak akan hadir pada peranti Huawei dan Honor terdahulu seperti GPU Turbo. Ini kerana ia lebih menjurus kepada naiktaraf yang dibuat pada perkakasan peranti.

Rumusan

Huawei sekali lagi telah meletakkan satu standard baru pada teknologi pembangunan telefon pintar. Bukan sahaja ia belum pernah dilakukan oleh mana-mana pesaing mereka sebelum ini, malah kedua-duanya juga ditawarkan buat pertama kali pada peranti yang berstatus mampu milik, Honor.

Keputusan Huawei untuk memperkenalkan dua turbo ini pada model Honor dan bukan Huawei sendiri juga menimbulkan sedikit tanda tanya kepada penggiat industri. Namun, Huawei pasti ada alasan mereka yang tersendiri dalam membuat keputusan tersebut.

Jika kami di pihak Wiser diberi peluang untuk mencuba peranti Honor Note 10 kelak, mungkin kami akan dapat kongsikan pengalaman menggunakan mod Double Turbo ini kepada anda semua.

Sumber : GSMArena, WccfTech

 

Berkaitan