HONOR Watch GS Pro Diperkenalkan - Jam Pintar Tahan Lasak Dengan Ketahanan Bateri 25 Hari

HONOR hari ini telah memperkenalkan jam pintar terbaharu iaitu Watch GS Pro. Jam pintar ini dikhususkan kepada penggunaan bagi aktiviti lasak.

Watch GS Pro dilengkapi skrin paparan 1.39 inci AMOLED dengan resolusi 454x454 serta janaan cip Kirin A1 dan sistem operasi LiteOS. Ia dimuatkan dengan bezel dari jenis keluli tahan karat serta binaan plastik dengan tali silikon.

Watch GS Pro

Menurut HONOR, jam pintar tahan lasak ini memenuhi sebanyak 14 piawaian MIL-STD-810G. Antaranya termasuk ketahanan pada suhu tinggi, suhu rendah, hujan, kelembapan, dan tekanan rendah pada ketinggian. Ia juga mempunyai ketahanan kalis air sehingga 5 ATM.

Secara keseluruhan, lebih 100 mod workout yang tersedia pada jam pintar ini termasuk aktiviti renang dengan penjejakan degupan jantung aktif. Ia juga didatangkan dengan pemantauan oksigen darah dan penjejakan waktu tidur.

Dari segi bateri, ia boleh menjangkau sehingga 25 hari penggunaan. Jika menggunakan mod outdoor workout, ia hanya bertahan sehingga 100 jam. Manakala, penggunaan dengan GPS diaktifkan boleh bertahan sehingga 48 jam sahaja.



Jam pintar tahan lasak ini hadir dengan pilihan warna Marl White dan Charcoal Black. Buat masa ini, Watch GS Pro hanya ditawarkan untuk pasaran UK, Perancis, Jerman, Itali dan Sepanyol bermula 7 September pada harga £ 249.99 (~RM1368).

Sumber: Hihonor UK via The Verge