HMD Global Memperkenalkan Tiga Peranti Terbaru Nokia Dalam Satu Hari

Revolusi Nokia di bawah kelolaan HMD Global kini nampaknya semakin rancak. Pada 29 Mei yang lepas, mereka telah memperkenalkan tiga peranti baru sekaligus dalam satu majlis yang telah diadakan di Moscow, Russia.

Dan seperti diramal dalam kiriman kami sebelum ini, ketiga-tiga peranti yang diperkenalkan pada majlis tersebut adalah merupakan naiktaraf kepada peranti keluaran mereka sebelum ini. Peranti berkenaan adalah Nokia 2.1, Nokia 3.1 dan Nokia 5.1. Mereka masing-masing merupakan versi terkini bagi peranti Nokia 2, Nokia 3 dan Nokia 5.



Mendahului senarai ialah peranti Nokia 5.1 yang juga merupakan peranti yang paling berkuasa di antara tiga model berkenaan. Versi terbaru ini akan menggunakan cip pemprosesan MediaTek Helio P18, menggantikan cip Qualcomm Snapdragon 430 yang digunakan pada model terdahulu. Peranti ini akan disokong oleh memori sehingga 3GB RAM serta hadir dengan kamera utama 16MP dan kamera hadapan 8MP.



Peranti yang berikutnya ialah Nokia 3.1. Edisi kali ini mempunyai saiz yang lebih besar iaitu 5.2 inci serta kamera utama 13MP dan kamera hadapan 8MP. Ia juga akan turut diberikan naiktaraf dari segi cip pemprosesan apabila kini menggunakan cip MediaTek 6750 berbanding Mediatek MT6737 bagi edisi terdahulu.



Manakala bagi model Nokia 2.1 pula, seperti keluaran sebelum ini, ia masih lagi memfokuskan kepada penggunaan ringan. Akan tetapi, dengan penggunaan cip pemprosesan Snapdragon 425, ia dijangka akan memberi 50% lebih kepantasan. Selain itu, peranti ini akan hadir dengan pengecasan yang lebih pantas dan skrin yang lebih besar berbanding keluaran sebelumnya.

Peranti Nokia 5.1 dan Nokia 3.1 akan menggunakan sistem operasi Android One, yang merupakan sistem Android tulen daripada Google. Manakala bagi peranti Nokia 2.1 pula, ia akan menggunakan sistem Android Go yang memfokuskan kepada peranti yang mempunyai memori 1GB RAM dan ke bawah.

Kesemua peranti yang dilancarkan pada majlis itu dijangka akan mula berada di pasaran pada bulan Julai tahun ini. Untuk maklumat lanjut, anda boleh ikuti laman sesawang Nokia Mobile serta Facebook rasmi mereka.

Sumber