Google+ Akan Ditamatkan, Selepas Isu Kebocoran Data 500,000 Pengguna

Google hari ini dikhabarkan bakal menamatkan perkhidmatan Google+, platform media sosial yang kurang mendapat sambutan.

Langkah yang diambil itu dikatakan lanjutan daripada isu kelemahan sekuriti yang menyebabkan kebocoran lebih kurang 500,000 data pengguna.

Menurut The Next Web yang memetik laporan daripada Wall Street Journal, Google telah mengenalpasti kelemahan sekuriti tersebut pada awal tahun ini.

Turut dinyatakan bahawa syarikat itu tidak mendedahkannya atas faktor takut menarik perhatian pihak pengawalseliaan dan merosakkan reputasi mereka.

Lanjutan daripada itu, Google ada mengeluarkan laporan. Naib presiden kejuruteraan Google, Ben Smith menjelaskan bahawa sekitar 500,000 akaun Google+ pengguna mungkin terkesan

Antara maklumat peribadi yang dikatakan terlibat oleh kebocoran itu adalah nama penuh, e-mel, tarikh lahir, jantina, gambar profil, tempat tinggal, pekerjaan dan lain-lain.

Tarikh sebenar penamatan belum diketahui lagi tetapi ia mungkin dilaksanakn dalam 10 bulan lagi.

Informasi mengenai perkara ini dan bagaimana untuk memuat turun data dari laman itu akan diumumkan oleh Google kelak.

Sumber: Google dan The Next Web