Selepas Samsung mengumumkan cip pemprosesan terbaru mereka menerusi Exynos 2200, maka lengkaplah barisan cip yang akan menguasakan telefon berkelas andalan bagi tahun 2022.
Dari tahun ke tahun, pengguna lebih cenderung untuk memilih cip dari Qualcomm berbanding MediaTek. Namun, mungkin tahun ini berubah.
Ini kerana berdasarkan perkongsian yang dibuatĀ Ice Universe, beliau memaparkan hasil ujian penanda aras CPU melalui Geekbench 5 bagi kesemua cip pemprosesan terbaru.
Secara keseluruhan, Apple A15 Bionic mengungguli carta ini dengan skor 1750 (teras tunggal) dan 4885 (multiteras).
Agak mengejutkan, cip paling berkuasa dari MediaTek – Dimensity 9000 berada di belakang A15 Bionic. Ia menerima skor 1278 (teras tunggal) dan 4410 (multiteras).
Kemudian, diikuti Snapdragon 8 Gen 1 dengan 1231 (teras tunggal) dan 3752 (multiteras). Manakala Exynos 2200 pula 1109 (teras tunggal) dan 3534 (multiteras).
Nampaknya, memang benar dakwaan MediaTek sebelum ini mengatakan cip mereka setanding Apple A15 Bionic. Malah, ada juga laporan mengatakan Dimensity 9000 ini walaupun berkuasa tetapi masih menggunakan tenaga yang rendah berbanding Snapdragon 8 Gen 1.
Biarpun begitu, ini hanyalah prestasi CPU. Dari segi GPU, Snapdragon 8 Gen 1 masih hadir dengan prestasi lebih baik daripada Dimensity 9000. Bahkan, belum diuji lagi dalam “dunia sebenar”.
Tambahan lagi, buat masa sekarang masih belum ada peranti yang menggunakan cip Dimensity 9000. Dikhabarkan OPPO Find X5 dan OnePlus 10R antara terawal dijana cip terbaru MediaTek tersebut.
Sumber: Ice Universe
Baca juga: