Snapdragon 8 Gen 1 memang tidak dapat dinafikan berkuasa untuk telefon pintar Android berkelas andalan. Baik dari segi CPU mahupun GPU.
Memandangkan cip tersebut turut akan digunakan dalam telefon pintar bagi segmen ‘gaming’, pasti ramai yang ingin tahu sejauh mana kemampuan cip ini beraksi.
Bagaimanapun, Snapdragon 8 Gen 1 yang diperkenalkan Disember lepas dilihat tewas dengan Apple A15 untuk prestasi gaming.
Berdasarkan hasil ujian yang dilakukan Golden Reviewer, beliau mencuba dan membuat perbandingan bagi kedua-dua cip ini.
Peranti yang digunakannya ialah telefon pertama dengan Snapdragon 8 Gen 1 – Motorola Edge X30 dan iPhone 13 Pro Max yang dikuasakan A15 Bionic. Sementara game yang digunakan pula ialah Genshin Impact.
Pada 10 minit awal permainan, Snapdragon 8 Gen 1 dengan begitu mudah ditewaskan. Walaupun kedua-dua peranti dikurangkan sedikit kelajuannya (throttling), A15 Bionic masih mampu memberikan prestasi lebih baik di mana purata kadar bingkai ialah 48fps. Manakala Snapdragon 8 Gen 1 46fps.
Isu lain yang diketengahkan Golden Reviewer adalah penggunaan tenaga Snapdragon 8 Gen 1 lebih tinggi. Purata penggunaan kuasa cip Qualcomm itu ialah 9W dan A15 Bionic (iPhone 13 Pro Max) pula 5.2W. Malah, apabila CPU throttling juga, Snapdragon 8 Gen 1 masih menggunakan 7.7W secara purata.
Dari segi suhu, Moto Edge X30 menerima suhu maksimum 48.0°C. Manakala iPhone 13 Pro Max pula 45.4°C. Akan tetapi, masalah suhu ini memang sudah sinonim sejak Snapdragon 888 lagi. Jadi, jenama telefon pintar tahun ini juga dilihat sedang berusaha keras dalam menjinakkan suhu Snapdragon 8 Gen 1.
Walau apa pun, tidak perlu wujudkan lagi iPhone vs Android lagi buat masa sekarang. Perlu diingatkan, ujian Snapdragon 8 Gen 1 ini dilakukan dengan Motorola Edge X30. Banyak faktor yang mainkan peranan seperti sistem penyejukan dan sistem perisian.
Oleh yang demikian, kita perlu menunggu peranti yang sememangnya mengkhususkan untuk gaming bagi mengetahui sejauh mana kehebatan cip ini bermain permainan mudah alih. Mungkin jauh lebih baik.
Sumber: notebookcheck, golden reviewer
Baca juga:
-
Cip 4nm Dimensity 9000 Diumum, Cip MediaTek Yang Paling ‘Power’
-
Sebuah Model Telefon Dari Samsung Dikesan Pakai Snapdragon 750G dan Android 12