Samsung secara rasmi hari ini melancarkan Galaxy S24 FE, penambahan terbaharu untuk ekosistem Galaxy AI.
Spesifikasi
Membawakan rekaan seakan Galaxy S24+, Galaxy S24 FE dilengkapi paparan Dynamic AMOLED 2X berukuran 6.7-inci – lebih besar berbanding pendahulunya (6.4-inci). Ia juga menyokong resolusi FHD+ serta kadar segar semula adaptif 120Hz.
Peranti ini dikuasakan cip Exynos 2400e yang berasaskan nod 4nm. Ia digandingkan bersama konfigurasi memori 8GB RAM dan storan sehingga 512GB.
Bagi meningkatkan pengalaman permainan, ia didatangkan dengan sokongan Ray Tracing serta vapour chamber 1.1x yang lebih besar berbanding model sebelum ini.
Beralih ke bahagian fotografi, Galaxy S24 FE dimuatkan tetapan kamera yang terdiri daripada 50MP utama (OIS), 12MP ultra lebar dan 8MP telefoto (OIS) dengan 3x zum optikal. Sementara panel berlubang di bahagian hadapan menempatkan 10MP kamera swafoto.
Membuat penampilan sulungnya dalam siri FE, keupayaan sistem kamera dipertingkatkan dengan sokongan ProVisual Engine – enjin kamera yang dipacu teknologi kecerdasan buatan (AI). Antara ciri kamera yang tersedia termasuk Nightography, Adaptive Pixel Sensor serta Super High Dynamic Range (HDR).
Seterusnya, peranti ini dibekalkan kapasiti bateri 4,700mAh dengan sokongan pengecasan 25W yang dijual secara berasingan.
Lain-lain termasuk sokongan rangkaian 5G, sambungan Wi-Fi 6E, Bluetooth 5.3, penarafan IP68 serta menjalankan One UI 6.1 yang berasaskan Android 14.
Galaxy S24 FE juga menerima sokongan naik taraf sistem operasi dan kemas kini keselamatan masing-masing selama 7 tahun.
Galaxy AI
Seperti barisan S24 yang lain, Galaxy S24 FE ditawarkan dengan keupayaan Galaxy AI. Antaranya termasuk ciri Circle to Search, Interpreter, Live Translate, Note Assist, Composer dan sebagainya.
Untuk suntingan gambar, Galaxy AI membawakan ciri seperti Generative Edit, Portrait Studio, Edit Suggestions serta Instant Slow-mo.
Harga dan ketersediaan
Di Malaysia, berikut merupakan harga yang ditawarkan untuk Galaxy S24 FE:
- 8GB + 256GB – RM3,299
- 8GB + 512GB – RM3,899
Pengguna sudah pun boleh membuat pembelian bermula hari ini, dengan empat pilihan warna tersedia iaitu Blue, Graphite, Gray dan Mint. Untuk pembelian atau butiran lanjut, layari laman rasmi Samsung.
{suggest}
Sumber: Siaran Media Samsung