Samsung secara rasmi kini melancarkan siri Galaxy S24. Sama seperti tahun lalu, tiga model ditampilkan ialah Galaxy S24, Galaxy S24+ dan Galaxy S24 Ultra yang menjadi model paling berkuasa.
Seiring dengan trend semasa, Samsung pada tahun ini lebih menekankan teknologi kecerdasaran buatan (AI) melalui pengenalan Galaxy AI dalam siri Galaxy S24.
Galaxy S24 Ultra
Sebagai model paling berkuasa dalam siri ini, Galaxy S24 Ultra hadir dengan janaan cip Snapdragon 8 Gen 3 for Galaxy yang dibina berasaskan teknologi 4nm. Ia digandingkan bersama konfigurasi memori 12GB RAM dan storan sehingga 1TB.
Tiada lagi skrin lengkung untuk tahun ini, Samsung menampilkan rekaan skrin rata pada Galaxy S24 Ultra. Dengan peralihan kepada skrin rata, secara tidak langsung menandakan berakhirnya era skrin melengkung dalam siri Galaxy ini.
S24 Ultra dilengkapi skrin Dynamic AMOLED bersaiz 6.8-inci dengan resolusi QHD+, sokongan kadar segar semula 1-120Hz serta maksimum kecerahan 2,600 nit. Ia mempunyai perlindungan paparan Corning Gorilla Armor dan menjadi telefon Galaxy pertama dengan bingkai titanium.
Dari segi kemampuan fotografi, S24 Ultra membawakan spesifikasi seperti berikut:
- 200MP utama (OIS, f/1.7)
- 50MP telefoto (5x zum optikal)
- 10MP telefoto (3x zum optikal)
- 12MP ultra lebar
Sama seperti model tahun lalu, ia juga hadir dengan kamera swafoto 12MP.
Untuk menghidupkan peranti, model ini dibekalkan bateri berkapasiti 5,000mAh yang menyokong pengecasan 45W berwayar. Tetapi seperti biasa, ia tidak disertakan dalam kotak dan perlu dibeli secara berasingan.
Antara lainnya, S24 Ultra menyokong sambungan Wi-Fi 7, rangkaian 5G, Bluetooth 5.3, penarafan IP68 dan menjalankan One UI 6.1 berasaskan Android 14. Empat pilihan warna tersedia iaitu Titanium Black, Titanium Gray, Titanium Violet dan Titanium Yellow.
Galaxy S24+
Beralih ke Galaxy S24+, peranti ini dikuasakan cip Exynos 2400. Dengan RAM sebesar 12GB, ia ditawarkan dalam dua varian storan iaitu 256GB dan 512GB.
S24+ mempunyai skrin Dynamic AMOLED berukuran 6.7-inci dengan resolusi QHD+ yang juga menyokong kadar segar semula 1-120Hz.
Untuk kamera, peranti ini didatangkan dengan 50MP utama (OIS), 12MP ultra lebar, 10MP telefoto (3x zum optikal) serta 12MP kamera swafoto.
Pada bahagian dalam, S24+ dimuatkan bateri sebesar 4,900mAh yang mampu menyokong pengecasan berkelajuan sehingga 45W berwayar.
Selain itu, model ini dilengkapi sokongan rangkaian 5G, sambungan Wi-Fi 6E, Bluetooth 5.3, penarafan IP68 serta menjalankan One UI 6.1. S24+ ditawarkan dengan empat pilihan warna – Onyx Black, Marble Gray, Cobalt Violet dan Amber Yellow.
Galaxy S24
Menjadi model standard, Galaxy S24 dilengkapi skrin lebih kecil bersaiz 6.2-inci dari jenis Dynamic AMOLED dengan resolusi FHD+ dan sokongan kadar segar semula 1-120Hz.
Sama seperti Galaxy S24+, model ini juga hadir dengan janaan cip Exynos 2400, tetapi dengan penawaran RAM lebih rendah iaitu 8GB. Storannya tersedia dengan dua pilihan iaitu 256GB dan 512GB.
Model ini diisi dengan kapasiti bateri 4,000mAh bersama sokongan pengecasan 25W berwayar.
Kebanyakan spesifikasi lain termasuk kamera, sambungan Wi-Fi 6E, rangkaian 5G, pilihan warna dan lain-lain sama sahaja dengan model S24+.
Ciri kamera dan suntingan gambar
Antara ciri kamera yang disertakan pada siri Galaxy S24 termasuk ProVisual Engine, Nightography, Super HDR, Edit Suggestion, Generative Edit dan lain-lain.
Dengan bantuan AI, pengguna boleh menggunakan ciri Edit Suggestion untuk mendapatkan cadangan suntingan paling sesuai untuk setiap foto.
Terdapat juga ciri Generative Edit yang boleh mengisi bahagian latar belakang imej dengan janaan AI. Contohnya, jika objek perlu digerakkan sedikit untuk berada dalam kedudukan yang diingini, AI membolehkan pengguna melaraskan kedudukan subjek dan mengisi semula latar belakang.
Bercakap mengenai video pula, Samsung menyediakan ciri Instant Slow-mo baharu yang boleh menjana bingkai tambahan berdasarkan pergerakan. Selain itu, terdapat ciri Nightography yang dipertingkatkan.
Galaxy AI
Berbanding kamera, Samsung tahun ini mempertaruhkan teknologi kecerdasan buatan (AI) dengan memperkenalkan Galaxy AI. Secara ringkasnya, berikut merupakan antara ciri berserta fungsi yang ditawarkan dalam Galaxy AI:
- Live Translate – terjemahan suara dan teks dalam masa nyata dua hala, bagi panggilan telefon dalam aplikasi terbina.
- Interpreter – perbualan boleh diterjemahkan dengan serta-merta menerusi transkripsi teks yang tertera pada paparan skrin. Boleh digunakan tanpa data selular atau Wi-Fi.
- Transcript Assist – menggunakan AI dan teknologi Speech-to-Text untuk mentranskripsi, merumus, dan juga menterjemahkan rakaman.
- Circle to Search – apabila tekan lama pada butang home, pengguna boleh membulat, highlight, melukis atau tekan apa sahaja pada skrin untuk melihat hasil carian dengan Google – tanpa perlu keluar dari aplikasi.
Terdapat juga ciri AI lain seperti Note Assist, Chat Assist dan sebagainya.
Sokongan sistem operasi dan kemas kini
Untuk siri Galaxy S24, Samsung menawarkan sokongan naik taraf selama tujuh generasi sistem operasi dan tujuh tahun kemas kini keselamatan.
Harga
Berikut merupakan harga yang tersedia untuk pasaran Malaysia:
Galaxy S24
- 8GB + 256GB – RM4,099
- 8GB + 512GB – RM4,599
Galaxy S24+
- 12GB + 256GB – RM4,899
- 12GB + 512GB – RM5,399
Galaxy S24 Ultra
- 12GB + 256GB – RM6,299
- 12GB + 512GB – RM6,799
- 12GB + 1TB – RM7,799
Prapesan sudah boleh dibuat mulai sekarang di laman web Samsung Malaysia.
Beli siri Samsung Galaxy S24 di:
Lazada – https://invol.co/clkll9r
Shopee – https://invl.io/clkllaj