Fungsi Nyahkunci Skrin Menggunakan Wajah Akan Hadir Pada OnePlus 5

Model OnePlus 5T yang dilancarkan pada bulan November lalu dilengkapi dengan suatu ciri yang kian popular iaitu Face Unlock.

Menyusuli pelancaran peranti itu adalah perkhabaran mengenai OnePlus 5 yang dikatakan akan dilengkapi dengan fungsi terbabit menerusi kemaskini.

Jika dilihat, OnePlus 5T dan model terdahulu, OnePlus 5, mempunyai sedikit persamaan dari segi perkakasan dan ia membolehkan OnePlus 5 menikmati fungsi yang sama.

Pengasas bersama OnePlus, Carl Pei telah mengesahkan bahawa model OnePlus 5 akan dilengkapi dengan fungsi nyahkunci skrin menggunakan wajah melalui kemaskini berasaskan Android Oreo.

Sistem nyahkunci menggunakan wajah oleh OnePlus tidak memerlukan sensor seperti yang digunakan pengeluar telefon lain, sebaliknya mereka menggunakan kamera hadapan peranti untuk menguasakan sistem tersebut.

Kemaskini Oxygen OS 5.0 berasaskan Android Oreo 8.0 telah mula dikeluarkan beberapa hari yang lepas tetapi fungsi Face Unlock masih belum tersenarai dalam kemaskini terbabit.

Berkemungkinan ia mengambil sedikit masa sahaja lagi untuk ditawarkan kepada pengguna OnePlus 5.

Sumber: Ubergizmo