Umum mengenali siri Mi Mix dengan penawaran skrin luas bersama bezel nipis dan melalui Mi Mix Alpha, ia membawakan lebih daripada apa yang kita sedia lihat.
Diumumkan sebagai peranti konsep, Mi Mix Alpha hadir dengan skrin yang hampir meliputi segenap bahagian. Nisbah skrin-ke-badan dikatakan melebihi 180.6% dan turut diperlengkapkan dengan kamera 108MP. Rekaan unik ini turut dihasilkan dengan kombinasi titanium aloi, seramik dan nilam.
Paparan yang hampir menyeluruh ini dipisahkan dengan bezel menegak yang menempatkan kamera, terdiri daripada lensa utama 108MP, lensa telefoto 12MP (zoom optikal 2x) dan lensa ultra lebar 20MP.
Pada bahagian sisi juga tampil tanpa sebarang butang fizikal, digantikan dengan ciri tekanan sensitif dan linear motor untuk mensimulasikan sentuhan seperti butang sebenar.
Paparan sisi peranti akan menunjukkan isyarat notifikasi serta peringatan lain manakala bahagian belakang berfungsi sama seperti panel hadapan. Bahagian belakang dikatakan akan bernyala sekiranya anda memusingkan peranti.
Rakaman selfie kini pastinya lebih baik dimana kamera yang terletak dibelakang digunakan untuk tujuan itu. Dari segi spesifikasi, Mi Mix Alpha dikuasakan dengan cip Snapdragon 855 Plus, RAM 12GB dan ruang simpanan 512GB berasaskan UFS 3.0. Janaan kuasa pula diperoleh daripada bateri berkapasiti 4050mAh dengan pengecasan pantas 40W.
Peranti konsep ini bakal dihasilkan dalam kuantiti yang sedikit dan mula dijual pada penghujung Disember depan pada harga 19,999 yuan iaitu sekitar RM11771 berdasarkan tukaran matawang asing semasa.
Sumber: Xiaomi