Melalui pengumuman pada blog rasmi Facebook, pengasas Mark Zuckerberg menyatakan akan memberikan lebih fokus kepada privasi platform media sosial tersebut.
Beliau membayangkan dalam beberapa tahun lagi, Messenger, WhatsApp dan Instagram Direct versi akan datang akan menjadi cara utama dalam komunikasi pada rangkaian Facebook.
Oleh itu pembangunan aplikasi-aplikasi ini akan disediakan dengan ciri-ciri yang lebih selamat seperti pelaksaan end-to-end encryption yang lebih menyeluruh untuk berinteraksi sesama pengguna, termasuklah membuat panggilan, perbualan video, grup, stories, perniagaan, pembayaran dan lain-lain.
End-to-end encryption akan menyukarkan kandungan yang dihantar dari diakses pihak lain termasuk Facebook sendiri. Selain itu, dalam pengumuman itu juga menyatakan mesej-mesej yang dihantar sepatutnya tidak kekal. Ini memberi bayangan bahawa mesej itu akan terpadam dengan sendirinya dalam tempoh masa tertentu.
Peralihan fokus kepada platform yang mengutamakan privasi itu, turut diiringi dengan berita dimana Zuckerberg dikatakan menyesal, kerana tidak mengikut nasihat supaya mencontohi aplikasi popular dari China, WeChat.
“If only i’d listened to your advice four years ago” komen Zuckerberg kepada Jessica Lessin di laman Facebook. Pada Mac 2015, Jessica yang juga merupakan pengasas laman teknologi The Information, ada menulis artikel yang mencadangkan supaya Facebook mencontohi WeChat.
WeChat merupakan aplikasi paling popular di China dan memiliki lebih dari 1 bilion pengguna. Ia mempunyai fungsi asas sebagai aplikasi pemesejan dan sosial media yang hanya terhad untuk pengguna WeChat, tetapi turut menawarkan ciri lain seperti transaksi tanpa tunai, tempahan makanan, pembayaran utiliti dan lain-lain lagi.
Namun terdapat pihak berpendapat ia akan memberikan kesan terhadap cara Facebook menjana pendapatan, seperti iklan yang mungkin menyukarkan pengiklan mendalami apa yang pengguna gemari dan sebagainya.
Facebook dan isu privasi bukanlah perkara baru untuk diperkatakan, kerana platform ini sudah beberapa kali menarik perhatian dunia terutama sekali berkenaan skandal Cambridge Analytica. Adakah dengan pengumuman halatuju baru Facebook itu akan memberikan lebih keyakinan kepada pengguna?
Sumber: South China Morning Post, The Verge