Sebenarnya kita sekarang sedang mula memasuki era kaca mata pintar dimana peranti ini mungkin jadi satu kebiasaan pada masa hadapan.
Facebook baru-baru ini dengan kerjasama Ray Ban memperkenalkan Ray-Ban Stories. Ia merupakan sebuah kaca mata pintar yang mempunyai beberapa fungsi menarik tetapi masih lagi ‘style’ apabila dipakai.
Kaca mata pintar ini hadir dengan kamera, mikrofon serta pembesar suara terbina. Selain itu, kesemuanya dimuatkan pada bingkai wayfarer yang ditawarkan sehingga 20 variasi mengikut cita rasa pengguna.
Dari segi fungsi, ia mampu mengambil gambar, video, stories serta mengangkat panggilan telefon. Setelah itu, pengguna boleh memadankan dengan aplikasi Facebook View yang mana boleh kongsikan stories tersebut secara terus ke Facebook, Instagram, WhatsApp, TikTok, Snapchat dan banyak lagi.
Tambahan lagi, Facebook juga meletakkan lampu LED padanya dan akan bernyala sekiranya kaca mata pintar tersebut sedang mengambil gambar atau video.
Ini kerana isu privasi dengan Facebook memang tidak dapat dipisahkan. Di samping itu, Facebook juga memberikan pilihan kepada pengguna data apa yang boleh dikongsikan bersama mereka.
Walau bagaimanapun, kaca mata pintar tersebut tidak menyokong fungsi realiti terimbuh (AR).
Apa-apa pun, Ray-Ban Stories ini turut didatangkan dengan bekas simpanan tersendiri yang boleh mengecas peranti, mirip fon telinga wayarles. Menurut Facebook, kaca mata pintar ini boleh bertahan sehingga tiga hari penggunaan.
Harga jualan adalah bermula USD299 (~RM1239) dan akan tersedia di Amerika Syarikat, Australia, Kanada, Ireland, Itali dan UK.
Terdahulu, Razer dan Huawei juga telah melancarkan kaca mata pintar mereka. Mungkin tidak lama lagi beberapa pengeluar lain akan mengikutinya.
Sumber: Facebook
Baca juga: