Menu
WISER.MY
  • Pergi ke Wiser.my
  • Berita
  • Ulasan
  • Trivia
  • Tips Gajet
  • Promosi
  • Youtube
  • Senarai
  • Harga
  • Hubungi Kami
WISER.MY
AFP, Elon Musk

Elon Musk Pertahan Pusat Data AI, Bidas Peraturan EU

Diterbitkan September 2, 2026 · Dikemas kini September 2, 2026 oleh ariff bukhari

Elon Musk pada Selasa menggesa kumpulan G20 agar berhati-hati dalam mengawal selia sektor teknologi dan kecerdasan buatan (AI), dengan menyatakan bahawa peraturan ala Eropah menyekat inovasi.

Musk turut mempertahankan pembinaan pusat-pusat data bagi memenuhi keperluan revolusi AI, di tengah-tengah penentangan yang semakin meningkat terhadap pembinaannya di Amerika Syarikat menjelang pilihan raya separuh penggal akhir tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Tesla dan SpaceX itu menyertai mesyuarat G20 berteraskan teknologi secara dalam talian di North Carolina, di saat perdebatan global bertambah hangat mengenai bagaimana kerajaan sepatutnya menangani bahaya dan potensi AI.

Pentadbiran Trump secara keseluruhannya komited terhadap pendekatan bebas yang menyerahkan kepada pihak industri untuk menentukan kaedah kawal selia kendiri, walaupun syarikat-syarikat teknologi bersaing sengit untuk kekal di hadapan dalam bidang AI berdepan pelbagai risiko.

Sebagai tanda bahawa pentadbirannya enggan mewujudkan sebarang halangan kepada industri AI, Presiden Donald Trump pada Isnin menyerang penentang pembinaan pusat data AI, dengan mendakwa mereka akan berakhir sebagai pihak yang “ketinggalan dan miskin” serta membantu negara pesaing, China.

Pada mesyuarat di Chapel Hill, lokasi University of North Carolina yang merupakan hab penyelidikan utama AS, Musk menyatakan bahawa pusat data AI amat diperlukan bagi menampung “kekurangan bekalan tenaga” untuk memenuhi keperluan AI.

Beliau menegaskan bahawa pembina pusat data sepatutnya membayar kadar cukai yang adil, namun dunia teknologi kini memerlukan kapasiti AI yang disediakan oleh pusat-pusat data berkenaan dengan kadar segera.

Dengan kehadiran menteri-menteri daripada negara anggota EU seperti Perancis, Itali, dan Jerman, serta Ketua Teknologi EU, Henna Virkkunen, Musk mengecam dasar Kesatuan Eropah (EU) kerana menghalang kemajuan teknologi.

“Anda perlu mempunyai persekitaran yang relatif bebas daripada pengawalseliaan, yang bermaksud perkara baharu secara lalainya adalah sah (default legal) berbanding secara lalainya haram (default illegal),” kata Musk.

 

“Di EU, sebagai contoh, kami mendapati tahap pengawalseliaan adalah sangat tinggi, dan perkara baharu secara umumnya adalah ‘default illegal’, dan ini menghalang kemajuan teknologi baharu,” tambahnya.

“Ia tidak menghentikannya secara keseluruhan, tetapi memperlahankannya dengan agak ketara,” kata Musk, satu hujah yang ditolak mentah-mentah oleh pegawai EU di Brussels.

Amerika Syarikat memegang jawatan Presiden G20 secara bergilir tahun ini dan sedang menganjurkan siri mesyuarat peringkat menteri sebelum sidang puncak pemimpin yang bakal dihimpunkan oleh Trump pada 14-15 Disember di resort Trump National Doral di Miami.

Washington meletakkan hala tuju kepimpinannya tahun ini untuk mengehadkan bebanan kawal selia dan mempromosikan teknologi baharu.

Mesyuarat di Chapel Hill dianjurkan oleh Pengarah Pejabat Dasar Sains dan Teknologi Rumah Putih, Michael Kratsios, serta Setiausaha Perdagangan, Howard Lutnick, yang mahukan para peserta komited terhadap pengawalseliaan AI yang tidak ketat (light-touch).

Mesyuarat itu berlangsung selama dua hari, dengan kemunculan bos Nvidia, Jensen Huang, serta ketua OpenAI, Sam Altman, yang dijangka hadir secara fizikal pada Rabu bagi sesi perbincangan santai bersama Lutnick.

Ketua Google DeepMind, Demis Hassabis, dan ketua Meta, Mark Zuckerberg, turut menyertai mesyuarat tersebut secara dalam talian.

Pada mesyuarat itu, Kratsios mempertahankan pendekatan yang dipanggil Carolina Principles, iaitu satu dasar di mana kerajaan komited untuk mengelakkan pembentukan terlalu banyak peraturan terhadap pelaksanaan AI.

‘Bencana’

Mesyuarat itu diadakan hanya beberapa minggu selepas OpenAI mendedahkan bahawa ujian model AI mereka mengalami masalah serius, apabila program AI autonomi, yang dikenali sebagai AI agents. beroperasi tanpa pengawasan manusia, mengakses internet secara sendiri, dan menceroboh sebuah laman web.

Insiden tersebut masih mencetuskan kekacauan besar di Silicon Valley, dengan sesetengah pihak, termasuk pengasas Microsoft, Bill Gates, menggesa pihak industri dan pegawai kerajaan untuk merangka kaedah mengawal selia pembangunan sektor tersebut dengan kadar segera.

Ekoran insiden itu, Hassabis pada Julai menggesa Amerika Syarikat supaya menubuhkan satu organisasi yang akan menguji sistem AI paling berkuasa sebelum ia boleh dilepaskan kepada umum.

Bercakap di G20, bekas pakar AI Trump, David Sacks—yang masih mempunyai pengaruh besar dengan Rumah Putih—menyatakan bahawa beliau menentang penubuhan sebarang badan sedemikian kerana ia akan menyekat pembangunan AI.

 

“Saya fikir sudah ada undang-undang yang agak tebal yang terpakai untuk AI,” kata Sacks semasa ucapan dalam talian beliau kepada menteri-menteri G20.

Tindakan mengawal selia model AI termaju secara ketat seperti mana pembuatan kapal terbang atau ubat-ubatan “bakal menjadi satu bencana,” katanya. – AFP

Berkaitan

  • vivo X300 FE VS vivo X300 Ultra: Sama DNA ZEISS, Tapi Ini Bezanya Yang Anda Wajib Tahu Sebelum Beli
  • Kawasan Luar Bandar Di China Kini Jadi Lokasi Pusat Data AI
  • (Video) Inilah Rupa Kilang Cip Terbesar Dunia Elon Musk, Bakal Satukan Proses Produksi Cip Di Bawah Satu Bumbung

Cari Artikel

Buka artikel ini di Wiser.my
BUKA

Terbaru

  • Pulau Pinang Sedang Bangunkan Pulau Silikon, Bakal Tawar 220,000 Peluang Pekerjaan
  • 3 Headphone ANC Bawah RM200
  • Kadar Tambang ECRL Akan Diumumkan Menjelang Akhir Oktober - Operasi Disasar Bermula Pertengahan Disember
  • Tiket Tonton Filem Dan Teater Di Wilayah Persekutuan Dikecualikan Duti Hiburan
  • Belanjawan 2027: Belia Lengkapkan Jam Sukarelawan Layak Terima RM100 E-Dompet Secara 'One-Off'
  • Belanjawan 2027: Kerajaan Tambah 100,000 Langganan AI Percuma, Termasuk ChatGPT
  • TNB Labur RM15 Bilion Perkukuhkan Grid Nasional
  • Belanjawan 2027: NSRC Akan Bangunkan Aplikasi AI, Bantu Pengguna Semak Butiran Mencurigakan
©2026 WISER.MY