Anthropic mengesahkan telah menambah peraturan baharu pada Claude Code yang menghalang alat coding AI itu daripada mencipta semula game sedia ada milik pihak lain. Ini termasuk projek yang ditukar nama atau didakwa sebagai karya original.
Peraturan itu mula didedahkan oleh pengguna X dikenali sebagai Chasm. Menurutnya, Claude Code menerima arahan baharu daripada pelayan Anthropic sekitar 27 Oktober 2026 di bawah flag “tengu_heron_brook”, dan tiada tetapan untuk pengguna mematikannya.
https://x.com/chasmmmmmmmmmmm/status/2116062991686721968?a=sIPIYoOggJFPAmd57Ts&s=20
Menurut teks peraturan tersebut, Claude Code masih boleh membina game original, game mengikut genre serta game berdasarkan reka bentuk dan aset milik pengguna sendiri. Namun, ia tidak akan membina semula game spesifik yang sedia ada, walaupun game itu dinamakan semula atau dilabel sebagai original.
Anthropic tidak mengeluarkan pengumuman rasmi berasingan. Sebaliknya, jurucakap syarikat merujuk Game Developer kepada kenyataan Addy Osmani, staf teknikal Anthropic, di X.
Menurut Osmani, dua ayat telah ditambah pada prompt Claude Code bagi model Opus 5.5 untuk menjauhkannya daripada mencipta semula game spesifik milik orang lain. Beliau berkata penggunaan Claude untuk melanggar harta intelek (IP) bercanggah dengan polisi penggunaan syarikat.
Osmani menegaskan bahawa game original, game mengikut genre dan game yang dibina menggunakan reka bentuk serta aset sendiri sepatutnya masih boleh dihasilkan. Katanya, Anthropic akan terus memperhalusi pendekatan ini bagi mencapai keseimbangan yang sesuai.
Bagaimanapun, Anthropic tidak menyatakan sama ada peraturan ini turut terpakai kepada model lain dalam Claude Code.
Perubahan ini turut menimbulkan persoalan berkaitan kerja yang sah. Conflict Simulations LLC membina modul digital permainan papan bertema perang (board wargame) atas tempahan pemilik hak. Seorang pembangun syarikat itu mendakwa menerusi GitHub bahawa peraturan tersebut telah menghentikan kerja klien mereka.
Menurut Game Developer dan PC Gamer, langkah Anthropic ini hadir ketika industri game berdepan lambakan klon game yang dihasilkan menggunakan AI, termasuk di Steam.
