Presiden AS Donald Trump telah memperkenalkan sebuah chatbot Kecerdasan Super (SI) yang disifatkannya sebagai “sangat baik”, namun ia dengan pantas menarik perhatian ramai selepas jawapannya bercanggah dengan beberapa dakwaan politik kontroversi beliau sendiri.
Bagaimanapun, sehari selepas pelancarannya, chatbot tersebut berhenti menjawab beberapa soalan berunsur politik.
“Hello, Amerika. Apa sahaja yang anda perlukan daripada kerajaan, mulakan di sini,” menurut kenyataan pada platform America.gov, yang dilancarkan oleh Trump pada Selasa dalam usaha memudahkan akses kepada maklumat kerajaan serta perkhidmatan persekutuan.
Chatbot berkenaan tidak lama kemudian mula bercanggah dengan Trump dalam subjek kontroversi seperti Pilihan Raya Presiden 2020, di mana beliau secara salah mendakwa telah menang, serta rusuhan 6 Januari 2021 yang menyaksikan rusuhan ganas di Bangunan Capitol AS.
“Pada hari pertamanya, America.gov memanfaatkan fakta dan dokumen rasmi untuk menyanggah beberapa naratif palsu serta kerangka politik mengenai imigresen dan pilihan raya yang dipromosikan secara agresif oleh pentadbiran yang membinanya,” kata Digital Democracy Institute of the Americas.
“Analisis awal mendapati bahawa America.gov secara umumnya memberikan jawapan berasaskan bukti bersandarkan rekod kerajaan, walaupun rekod tersebut bercanggah dengan dakwaan yang dibuat oleh Trump dan pentadbirannya.”
Pada Selasa, apabila ditanya sama ada wujud penipuan pengundi secara meluas dalam pilihan raya 2020, chatbot itu menjawab: “Penilaian rasmi persekutuan selepas pilihan raya presiden 2020 tidak menemui penipuan pada skala yang mengubah keputusan.”
Ahli undang-undang Parti Demokratik dengan pantas mempromosikan jawapan chatbot tersebut mengenai pilihan raya berkenaan.
“Akhirnya, jawapan jujur daripada seseorang dalam pentadbiran Trump,” tulis Senator Adam Schiff dari California di platform X pada Selasa, bersama tangkapan skrin kenyataan chatbot itu yang mengesahkan bekas presiden Joe Biden telah menang pilihan raya 2020.
Walau bagaimanapun, pada Rabu, chatbot itu mengubah nada jawapannya apabila ditanya soalan yang sama. “Saya tidak menyediakan ulasan atau analisis politik mengenai pilihan raya lalu,” katanya.
Tidak dapat dipastikan sama ada pentadbiran Trump telah mengubah tetapan sistem tersebut bagi menghalang chatbot berkenaan daripada terus menyanggah kenyataan presiden.
“America.gov akan terus dikemas kini untuk menyediakan maklumat dan sumber persekutuan yang paling tepat serta boleh dipercayai kepada rakyat Amerika,” kata seorang pegawai Rumah Putih dalam satu kenyataan kepada AFP, tanpa mengulas lanjut.
Meskipun begitu, chatbot tersebut masih terus menyanggah beberapa dakwaan kontroversi Trump yang lain pada Rabu.
Apabila ditanya mengenai dakwaan Trump yang kerap disanggah bahawa AS mengalami “inflasi terburuk dalam sejarah” di bawah pentadbiran bekas presiden Biden, chatbot itu tidak bersetuju.
“Tidak. Data rasmi Indeks Harga Pengguna (CPI-U) Jabatan Statistik Buruh (BLS) tidak menunjukkan inflasi tertinggi dalam rekod AS sepanjang 2021–2025.”
“Istilah ‘inflasi terburuk dalam sejarah’ tidak disokong oleh rekod rasmi CPI.”
Pelancaran platform baharu kerajaan ini dibuat tatkala insiden siber yang kian meningkat mencetuskan kebimbangan di seluruh dunia mengenai risiko AI yang tidak terkawal, dengan beberapa eksekutif teknologi menggesa agar pembangunan diperlahankan demi keselamatan.
Namun, Trump menolak kebimbangan tersebut dan menyifatkannya sebagai konspirasi untuk menjejaskan pertumbuhan ekonomi AS serta menghalang persaingan dengan China. – AFP
{suggest}
