CelcomDigi Berhad (CelcomDigi) memeterai perjanjian kerjasama selama 15 tahun dengan Kulim Technology Park Corporation (KTPC) bagi menyediakan ketersambungan gentian optik di Zon Perindustrian Fasa 4A (IZP 4A), Kulim Hi-Tech Park (KHTP), Kedah.
Menerusi perjanjian ini, CelcomDigi akan menguruskan infrastruktur saluran gentian optik di IZP 4A dan menyediakan pelbagai penyelesaian ketersambungan untuk penyewa baharu. Antaranya termasuk Dedicated Internet Access (DIA), Private Leased Lines (PLL), IPVPN, serta Managed Dense Wavelength Division Multiplexing (DWDM) dan perkhidmatan Managed Fibre.
Untuk rekod, KHTP yang ditubuhkan pada 1996 kini menjadi antara hab perindustrian utama di Kedah. Menurut KTPC, kawasan perindustrian itu telah merekodkan pelaburan terkumpul sebanyak RM189.4 bilion dan menyediakan 48,813 peluang pekerjaan setakat suku kedua 2026.
Seiring dengan pembangunan KHTP, kerjasama ini juga dijangka menyokong pertumbuhan industri di Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER), yang merangkumi Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak.
