Bully 2 Didakwa Sedang Dalam Pembangunan, Mungkin Dilancarkan Sebelum GTA 6

Ketika Red Dead Redemption 2 masih menunggu hari untuk dilancarkan, timbul satu lagi ura-ura baru mengenai perancangan pembangunnya, Rockstar Games. Rockstar didakwa sedang membangunkan siri kedua untuk satu lagi permainan popular mereka, Bully.

Berita ini pasti menimbulkan keterujaan kepada para pemain siri pertama permainan ini. Mana tidaknya, selepas kira-kira 12 tahun menunggu, akhirnya mereka dapat mengetahui kisah sambungan Jimmy Hopkins, remaja bermasalah yang menjadi watak utama permainan.

Projek rahsia ini dilaporkan dikelolai oleh Jessica Jeffries, pengarah pemilihan pelakon. Beliau dilihat sedang mencari pelakon untuk melakonkan beberapa watak melalui kiriman di akaun Twitter-nya(@jessicajcasting).

https://twitter.com/jessicajcasting/status/1050003181751726080

Menguatkan lagi ura-ura mengenai permainan ini, projek itu dikhabarkan akan mengandungi beberapa adegan kekerasan yang ringan melibatkan watak-watak pemuda itu.

Namun, setiap satu adegan berkenaan akan dikendalikan dengan peka dan berhati-hati. Sekiranya laporan ini tepat, maka hampir pasti ia akan dilancarkan sebelum GTA 6 memandangkan permainan GTA terbaru itu masih lagi belum dibangunkan(tiada laporan mengenainya setakat ini).

 

Sumber : DailyStar UK   JessicaJCasting